Barisan Nasional (BN) akan melantik semula Ketua Wanita UMNO Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil sebagai salah seorang menteri Kabinet sekiranya BN meraih dua pertiga majoriti undi dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid berkata walaupun Shahrizat tidak bertanding dalam PRU kali ini, namun beliau boleh dilantik sebagai anggota Dewan Negara kerana kesetiaannya terhadap parti termasuk tidak membuat sabotaj atau merajuk walaupun tidak dicalonkan untuk bertanding dalam PRU14.

"Tokoh wanita ini tidak pernah melakukan sabotaj walaupun dia tidak dipilih. Jadi lepas (PRU14) ini saya akan berbisik kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk melantik beliau," katanya ketika berucap pada majlis bersama jentera Jalinan Rakyat (JR) di sini, hari ini yang turut dihadiri Shahrizat dan isteri Ahmad Zahid Datin Seri Hamidah Khamis.

Sementara itu, Shahrizat berkata wanita di negara ini perlu memainkan peranan untuk memastikan kemenangan besar BN dalam PRU14.

"Sebab kalau BN menang dua pertiga, baru kita boleh membawa pindaan dalam Perlembagaan Malaysia. Ini menjadi satu 'challenge' kepada wanita Malaysia," katanya.

Shahrizat berkata semua akujanji yang diberikan oleh BN pada kempen PRU14 dibuat berdasarkan fakta, bukan seperti pembangkang yang selalu memutarbelit fakta selain menabur janji kosong.

BACA: Rafidah dan Daim digugurkan, Rais disiasat

Mengulas mengenai pengguguran keanggotaan parti dua veteran UMNO iaitu Tun Daim Zainudddin dan Tan Sri Rafidah Aziz, beliau berkata keputusan yang dibuat parti adalah berasas.

"Dalam parti mesti ada disiplin dan saya yakin bahawa keputusan parti mempunyai asas kukuh, parti disiplin amat mustahak. Saya tengok ada beberapa tokoh telah melompat ke arah sana (pembangkang) kerana agenda peribadi mereka.

"Kita kesal terutamanya apabila mantan ketua wanita kita Rafidah bertindak menyokong pihak sana pada hal dulu beliau selalu berpesan untuk mengutamakan parti," katanya.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata keanggotaan dua veteran itu digugurkan berkuatkuasa semalam susulan tindakan mereka menyokong pembangkang selain menghentam parti.

-- BERNAMA