PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan akan melindungi penjawat awam yang menjalankan tugas secara profesional daripada sebarang tekanan susulan pertembungan politik semasa.
Sambil membidas pihak yang cuba memberi tekanan tersebut, Ahmad Zahid berkata
penjawat awam perlu terus melaksanakan tanggungjawab mengikut peraturan dan saluran perundangan yang betul tampa perlu mencampuradukkan politik dengan pentadbiran.
“Saya juga tahu ada di kalangan anda yang mungkin dipanggil, berdepan tekanan susulan pertembungan politik ini. Tetapi percayalah selagi mana saya memegang amanah sebagai menteri, saya beri jaminan setiap pegawai kementerian akan saya lindungi.
"Teruskanlah berkhidmat dan laksanakan tanggungjawab yang diberikan mengikut peraturan dan saluran perundangan yang betul.
“Saya akan lindungi. Saya profesional dalam perkara ini. Saya mahu mengikut peraturan dan saluran perundangan yang betul. Insya-Allah. Siapa yang akan pergi, siapa yang diperintah pergi, tengok nanti,” katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di sini, hari ini.
Ahmad Zahid bagaimanapun tidak menamakan pihak yang didakwa memberi tekanan kepada penjawat awam, sebaliknya menegaskan ia dilakukan pihak yang memegang jawatan tinggi.
“(Tekanan itu) Oleh ketua yang atas di sana, tak tahu siapa namanya tetapi fahamilah perkara ini,” katanya.
Beliau berkata, perkembangan politik semasa khususnya selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan mungkin menimbulkan persoalan dalam kalangan penjawat awam mengenai kestabilan Kerajaan Perpaduan serta hala tuju pentadbiran.
Bagaimanapun, beliau menegaskan persaingan politik di peringkat negeri tidak seharusnya menjejaskan pentadbiran di peringkat Persekutuan sehingga Parlimen di bubarkan.
“Kerajaan Perpaduan hari ini dibentuk berasaskan suatu persefahaman dan perjanjian yang jelas untuk ia kekal sehingga Parlimen dibubarkan. Jadi, selagi tiada pembubaran berlaku, Kerajaan Persekutuan akan terus berfungsi, pentadbiran akan diteruskan dan setiap amanah kepada rakyat akan dilaksanakan seperti biasa,” katanya,
Ahmad Zahid berkata, penjawat awam perlu peka terhadap perkembangan politik dan memahami konteks yang membentuk dasar kerajaan, namun tidak boleh terheret ke dalam politik kepartian.
Beliau turut menegaskan perlu ada garis pemisah yang jelas antara politik dan pentadbiran, dengan profesionalisme penjawat awam memastikan setiap tugasan dilaksanakan secara berintegriti untuk negara dan rakyat.
“Di negeri boleh kita berbeza pendapat. Tapi bila kita melaksanakan pentadbiran di peringkat Pusat, kita mesti tidak ada perbezaan.
"Sebaliknya, kita mesti satu fikrah, satu perasaan dan satu tujuan untuk menentukan rakyat mesti didahulukan dalam melaksanakan urusan kerajaan di peringkat Pusat.
“Urusan kerajaan tidak boleh terhenti hanya kerana suhu politik meningkat,” katanya.