Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menafikan dakwaan kononnya UMNO Bahagian Semporna dibubar susulan peletakan jawatan beberapa pemimpin utama dan 300 ketua cawangan UMNO di bahagian itu semalam.

Kata Tengku Adnan, kemelut yang dicetuskan UMNO Bahagian Semporna tidak mempunyai lokus standi untuk bahagian itu dibubarkan.

Tegasnya, pihak yang tidak faham berkenaan Perlembagaan UMNO tidak sepatutnya mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh mengeruhkan keadaan.

"Dia (Jawatankuasa UMNO Semporna) nak bubar, dia tidak ada lokus standi untuk bubar Bahagian (Semporna). Kalau Bahagian itu sudah tidak ada keahlian, kita boleh tubuh Jawatankuasa baru dan kita mulakan semua. Tidak ada masalah.

"Soalan yang timbul, sekarang ini ada orang kata daripada 191 bahagian UMNO, sekarang tinggal 190 bahagian. Ini siapa punya cakap ni? Saya pun tidak faham kadang-kala ahli-ahli UMNO ini sendiri.

"Tolonglah kalau tidak faham Perlembagaan, kalau tidak tahu apa-apa, jangan cakaplah. Jangan mengeruhkan lagi situasi," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini hari ini.


Jelasnya, UMNO Pusat kini sedang memantau situasi dan perkembangan yang berlaku di beberapa bahagian UMNO termasuk di Pagoh dan Jerlun.

"Kita tahu apa yang kita lakukan kerana kita sedang memantau dan kita beri peluang kepada ahli-ahli kita.

"Kita pun memantau juga perkembangan di beberapa bahagian lain termasuk di Pagoh dan Jerlun," katanya.

Justeru beliau berharap ahli UMNO di semua peringkat untuk bersabar dan tidak mengeluarkan kenyataan yang memburukkan imej parti.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi berkenaan susulan pengumuman Naib Ketua UMNO Bahagian Semporna, Datuk Dr Jaujan Sambakong keluar parti semalam.

Turut mengambil tindakan sama ialah dua ketua sayap iaitu Ketua Pemuda Mohd Aziz Jamman dan Ketua Wanita Manis Muka Dara serta 300 ketua cawangan bahagian itu.

Keputusan itu dibuat mereka selepas mesyuarat Ahli Jawatankuasa (AJK) bahagian itu di sini yang dipengerusikan Jaujan yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Sulabayan.

UMNO Bahagian Semporna mempunyai 481 ketua cawangan.