Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman percaya wujud konflik dalaman Parti Keadilan Rakyat (PKR) berikutan tindakan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Inanam Dr Roland Chia yang baru-baru ini menyatakan hasrat meletak jawatan menerusi laman sosial Facebooknya.

"Saya percaya ini masalah dalaman PKR kerana kita lihat dalam akhbar ada mengeluarkan kenyataan PKR negeri dan pusat bercanggah," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Musa yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri diminta mengulas kenyataan Dr Chia di dalam laman Facebooknya pada Rabu lepas, yang menyatakan hasrat meletakkan jawatan atas faktor kesihatan.

Ketika ditanya bagaimana persiapan BN sekiranya Dr Chia meletakkan jawatan dan pilihan raya kecil bakal diadakan, Musa berkata pihaknya akan berbincang dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak merangkap Pengerusi BN mengenai tindakan sewajarnya.

Mengenai status Dr Chia, katanya, setakat ini Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Seri Salleh Tun Said belum menerima surat peletakan jawatan beliau.

Sementara itu, Dr Chia menerusi status terkini di laman Twitter miliknya bertarikh semalam, mengatakan bakal membuat pengumuman rasmi berhubung kedudukan beliau sebagai wakil rakyat selepas perayaan Krismas.


Sebelum ini, Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Sabah Datuk Seri Lajim Ukin berkata Dr Chia masih lagi Adun Inanam dan beliau tidak menolak kemungkinan akaun Facebook Adun berkenaan digodam.

Semalam, Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali dilapor berkata parti itu akan mengadakan perbincangan mengenai perkara tersebut apabila Dr Chia, pulang ke tanah air selepas bercuti di luar negara.

Beliau turut menafikan ada menerima sebarang surat peletakan jawatan Dr Chia.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 tahun lepas Dr Chia, 44, mendapat 8,926 undi dengan majoriti 3,202 undi menewaskan Eric Majimbun daripada Parti Maju Sabah (SAPP) yang mendapat 5,003 undi dan Joseph Paulus Lantip (BN) yang memperoleh 5,724 undi.