IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mahu semua 59 Ahli Dewan Undangan Negeri itu mempamerkan politik matang dan memberi kerjasama kepada kerajaan demi kepentingan negeri dan rakyat.

Baginda bertitah, langkah yang dirintis Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad yang mengenepikan diskriminasi dalam kalangan wakil rakyat kerajaan dan pembangkang, merupakan langkah berani memperkenalkan budaya baharu dalam pentadbiran negeri.

Titah baginda, langkah itu juga dapat meminimumkan perselisihan politik.

“Langkah tersebut mungkin satu langkah permulaan yang kecil, tetapi langkah kecil ini jika terus disuburkan, akan membantu melonjakkan budaya politik baharu aras tinggi yang kurang berkonfrontasi sifatnya.

“Setiap Ahli Dewan hendaklah menyambut langkah tersebut dengan menunjukkan sikap timbal balik yang menghargai budaya baharu ini dengan mempamerkan semangat politik matang beraras tinggi, saling bekerjasama, saling menghormati, saling membantu usaha-usaha yang dilaksanakan untuk kepentingan negeri dan kepentingan rakyat.

"Di samping sama-sama berusaha memupuk semangat perpaduan dan semangat kewarganegaraan antara rakyat berbilang kaum yang menganut pelbagai agama, mengamalkan pelbagai budaya dan menguasai pelbagai Bahasa,” titah baginda ketika merasmikan Mesyuarat Pertama, Tahun Keempat, Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan Keempat Belas pada Rabu.

Sultan Perak titah semua 59 ADUN pamer politik matang

Ketika membentangkan Bajet 2021 tahun lalu, Menteri Besar mengumumkan peruntukan yang sama untuk kesemua 59 Ahli Dewan Undangan Negeri, termasuk pembangkang.

Disamping itu, wakil rakyat pembangkang juga dijemput dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah, Jawatankuasa Kumpulan Fokus Daerah dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah.

Sultan Nazrin turut bertitah, langkah tersebut telah memungkinkan semua Ahli Dewan mengambil bahagian secara langsung bagi membina selain mencari formula memenuhi keperluan rakyat secara lebih berkesan dan bermakna.