KUALA LUMPUR:Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menafikan pernah dimaklumkan mengenai dakwaan bahawa Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah menulis surat kepada Yang di-Pertuan Agong menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri yang baharu. 

Naib Presiden UMNO itu memaklumkan kepada Astro AWANI, perkara itu mungkin hanya satu andaian atau spekulasi pihak tertentu. 

Ditanya sekiranya perkara sebegini memerlukan perbincangan mendalam dan kelulusan di peringkat Majlis Tertinggi atau ia terpulang kepada kebijaksanaan presiden parti, Mohamed Khaled berkata beliau tidak akan memberi reaksi kepada spekulasi.

Pada Jumaat, sebuah portal mendakwa, Ahmad Zahid dan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah menulis surat kepada Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi menyokong Pengerusi Pakatan Harapan itu membentuk kerajaan baharu.


BACA: 'Ku Li menghadap Agong di luar pengetahuan saya' - Zahid Hamidi

BACA: Gerakan Ku Li raih lebih majoriti, pinggir Anwar, 'UMNO' bermasalah?

BACA: MP UMNO sokong Anwar? Ini pandangan Tun Mahathir

Portal berkenaan mendakwa, surat bertarikh 11 Oktober menyatakan, kedua-dua Najib dan Ahmad Zahid bersama sejumlah Ahli Parlimen UMNO bersetuju menyokong Anwar.

Usaha Astro AWANI untuk mendapatkan komen ahli Majlis Kerja Tertinggi dan Ahli Parlimen UMNO masih berterusan.