POLITIK
Tengku Zafrul tidak menang PRU, tidak perlu semak aku janji - Mohamad

Mohamad menjelaskan bahawa aku janji PRU15 tidak terpakai kerana Tengku Zafrul tidak memenangi pilihan raya, sebaliknya dilantik sebagai Senator dan Menteri MITI. - Gambar fail/Bernama
SEREMBAN: Semakan semula aku janji ditandatangani Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz semasa menjadi calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), tidak dapat dikuatkuasakan berikutan beliau tidak memenangi pilihan raya tersebut.
Ringkasan AI
- Aku Janji Tidak Dapat Dikuatkuasakan: Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, menjelaskan bahawa aku janji PRU15 tidak terpakai kerana Tengku Zafrul tidak memenangi pilihan raya, sebaliknya dilantik sebagai Senator dan Menteri MITI.
- Gesaan Tindakan terhadap Tengku Zafrul: Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Puad Zarkashi, mendesak parti menyemak semula aku janji dan mempertimbangkan pampasan RM100 juta, namun Mohamad Hasan menegaskan bahawa perjanjian itu hanya terpakai kepada wakil rakyat yang menang.
- Implikasi terhadap UMNO dan Kabinet: Mohamad Hasan menyatakan bahawa peletakan jawatan Tengku Zafrul tidak memberi kesan besar kepada UMNO, tetapi berharap kuota tujuh menteri penuh dalam Kabinet dapat dikembalikan kepada UMNO.
"Jika mereka menang, kerusi tersebut adalah kepunyaan parti, bukan kepunyaan individu tersebut dan individu yang menjadi calon dan menang, mereka menandatangi banyak perjanjian termasuk mengembalikan semula kos yang dikeluarkan parti dan macam-macam lagi.
"Tengku Zafrul tak menang. Dia jadi menteri atas asas dia seorang senator. Jadi saya tak nampaklah bahawa aku janji tersebut dapat dikuatkuasakan ke atas beliau," katanya kepada pemberita selepas majlis makan tengah hari di sini hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO Datuk Mohd Puad Zarkashi, yang mendesak parti mengambil tindakan tegas terhadap Tengku Zafrul yang mengumumkan meninggalkan UMNO untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat.
Mohd Puad juga meminta parti menyemak semula aku janji ditandatangani Tengku Zafrul semasa menjadi calon BN pada PRU15, termasuk kemungkinan menuntut pampasan RM100 juta sekiranya tindakan Tengku Zafrul yang tewas di kerusi Parlimen Kuala Selangor pada PRU lepas, dikira sebagai lompat parti.
Semalam, Tengku Zafrul mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ahli MT UMNO, Ketua UMNO Bahagian Kota Raja dan ahli UMNO.
Ditanya sama ada peletakan jawatan itu memberi kesan terhadap UMNO, Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata Tengku Zafrul tidak memegang jawatan tinggi dalam parti dan ia tidak terlalu memberi kesan terhadap UMNO.
Dalam perkembangan lain, Mohamad yang juga Menteri Luar berkata usaha memerangi pemerdagangan manusia membabitkan rakyat di negara ini di Vietnam termasuk jenayah penipuan, sentiasa menjadi agenda utama Malaysia.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami