[TERKINI] PRN Sabah: BN yakin pertahan DUN Sungai Manila walau berdepan cabaran anak Musa Aman
![[TERKINI] PRN Sabah: BN yakin pertahan DUN Sungai Manila walau berdepan cabaran anak Musa Aman [TERKINI] PRN Sabah: BN yakin pertahan DUN Sungai Manila walau berdepan cabaran anak Musa Aman](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-11/81764070763_tbCalonBNDUNSunga.jpg)
Zaini menjelaskan, jentera BN telah bergerak secara konsisten hampir dua tahun bagi memastikan pengundi serta struktur parti berada dalam keadaan siap siaga menghadapi PRN Sabah ke-17. - Gambar Astro AWANI
LAHAD DATU: Barisan Nasional (BN) yakin mampu mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Manila, meskipun berdepan saingan lima calon lain, termasuk anak kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, Hazem Mubarak Musa daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Ringkasan AI
- Barisan Nasional (BN) yakin dapat mempertahankan kerusi DUN Sungai Manila meskipun saingan lima calon termasuk Hazem Mubarak Musa dari Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
- Calon BN, Zaini Tiksun, menyatakan keyakinan parti berdasarkan sokongan akar umbi dan luar terhadap BN.
- Fokus utama BN jika menang adalah menyediakan peluang pekerjaan dengan merancang untuk menghidupkan semula kilang sawit di Rancangan Sungai Manila.
“Berdasarkan dapatan kita, sekiranya kita dapat sokongan daripada luar ahli UMNO, InsyaAllah kita masih boleh mempertahankan kerusi N.51 Sungai Manila,” katanya semasa ditemui di Rancangan Sungai Manila, baru-baru ini.
Mengulas mengenai persiapan parti, Zaini menjelaskan, jentera BN telah bergerak secara konsisten hampir dua tahun bagi memastikan pengundi serta struktur parti berada dalam keadaan siap siaga menghadapi PRN Sabah ke-17.
Dalam masa sama, beliau menegaskan, fokus utamanya jika diberikan mandat adalah menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan, termasuk menghidupkan semula kilang sawit di Rancangan Sungai Manila yang pernah beroperasi sebelum ini.
“‘Di sini dahulu sebenarnya ada kilang sawit Rancangan Sungai Manila tetapi ditutup kerana lokasi kurang sesuai.
“Kita berbincang dengan beberapa penduduk, kalau boleh kita wujudkan semula kilang itu namun biarlah jaraknya tidak dalam pekan.
“Dengan adanya kilang itu nanti, peluang pekerjaan dapat diwujudkan sekali gus meningkatkan ekonomi setempat,” katanya.
Selain Hazem, Zaini turut berdepan saingan daripada Irian Nanang (PIS), Sittinara Sakah (Warisan), Yusri Abu (PN) dan Faizal Wahab (PPRS).
Pada PRN16, calon BN, Datuk Mokran Ingkat (BN) memenangi kerusi DUN Sungai Manila dengan 4,585 undi dan majoriti 1,417 dalam saingan enam penjuru.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

