Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa menegaskan parti itu tiada keperluan mendesak untuk mengambil tindakan terhadap Ketua Bahagian Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin buat masa ini.

Ia berikutan tumpuan parti terarah kepada hal-hal parti yang disifatkan lebih penting.

"Secara peribadi bagi saya, itu bukan isu yang mendesak walaupun ada pelanggaran disiplin parti yang ketara, di mana pihak yang terbabit pun tahu, ahli-ahli Majlis Tertinggi (MT) pun tahu dan ahli pun tahu.

"Namun begitu, perkara itu tidak dilihat sebagai perkara yang sangat 'urgent' (mendesak) berbanding perkara atau hal-hal parti yang lain," katanya semasa ditemui media di lobi Parlimen di sini hari ini.

Beliau tidak dapat menyatakan sama ada isu mengenai tindakan ke atas Muhyiddin akan dibincangkan pada mesyuarat MT UMNO nanti.

"Sebab itu saya tidak dapat nak ramalkan sama ada mesyuarat itu akan membuat keputusan yang khusus mengenai perkara berkenaan, walaupun saya dengar ada ahli MT yang ingin mengemukakan usul dan cadangan," tegasnya.

Annuar berpendapat ahli MT UMNO bebas untuk membuat apa sahaja cadangan dan syor dalam mesyuarat parti.

"Namun keputusannya nanti terpulanglah kepada ahli MT sendiri sama ada nak mengkaji atau nak membincangkannya sebelum membuat keputusan," tambahnya lagi.

Ditanya sama ada kenyataan dan tindakan Muhyiddin serta Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir akan memberi kesan kepada BN pada Pilihan Raya Kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar, ini jawapan beliau:

"Semua parti ada masalah dalaman sebab parti politik masing-masing ada masalah tertentu, namun ia tak semestinya menjejaskan parti. Setiap masalah dalam parti (BN) kita akan lihat dengan baik," tambah beliau.

Muhyiddin sebelum ini menggesa UMNO menghantar surat tunjuk sebab sebelum mengambil apa-apa tindakan terhadap dirinya.

Bekas timbalan perdana menteri itu berkata beliau tidak pernah dimaklumkan oleh Lembaga Disiplin mengenai apa-apa tuduhan pelanggaran disiplin parti terhadapnya.

Ia susulan kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, yang mendedahkan satu laporan oleh Lembaga Disiplin mengenai kedudukannya dalam parti telah disiapkan dan diserahkan kepada MT.