KUALA LUMPUR: Keupayaan membentuk gabungan akan menjadi penentu parti yang menguasai Putrajaya pada masa akan datang.
Penganalisis politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Mazlan Ali berkata, tiada lagi parti dominan yang mampu membentuk kerajaan secara bersendirian.
“Saya menjangkakan kerajaan gabungan akan terus terbentuk pada masa akan datang kerana realiti landskap politik Malaysia sudah berbeza.
“Hari ini, tidak ada mana-mana parti yang dominan dan mampu menubuhkan kerajaan secara bersendirian,” katanya dalam program Pantau Agenda Reformasi, hari ini.
Menurutnya, keadaan itu berbeza berbanding era 1970-an dan 1980-an apabila UMNO menguasai lebih 100 kerusi Parlimen.
Namun, perubahan landskap politik dan akses maklumat menyebabkan sokongan pengundi kini semakin terpecah.
Justeru, parti yang meraih kerusi terbanyak belum tentu dapat membentuk kerajaan tanpa sokongan blok politik lain.
“Politik kerjasama perlu diteruskan dan akan terus berlaku. Cuma, komponen mana yang akan membentuk gabungan itu menjadi persoalan pada masa akan datang,” katanya.
Mazlan berkata, model Kerajaan Perpaduan sejak 2022 menunjukkan beberapa blok politik boleh bekerjasama untuk membentuk kerajaan.
Mazlan berkata, pembentukan Kerajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) membuktikan beberapa blok politik boleh bekerjasama ketika tiada parti memperoleh majoriti.
Beliau turut memberi kredit kepada parti-parti yang menyahut titah Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, untuk membentuk kerajaan bagi menjamin kestabilan politik negara.
“Ketika itu, tidak ada mana-mana parti yang memiliki majoriti. Pakatan Harapan (PH) sendiri hanya mempunyai 82 kerusi, sedangkan sekurang-kurangnya 112 kerusi diperlukan untuk membentuk kerajaan.
“Jika PH dan Barisan Nasional berjiwa besar, mereka akan terus bekerjasama demi negara dan rakyat sehingga akhir penggal. Mereka akan mendapat penghormatan rakyat,” katanya lagi.