KOTA KINABALU: Tiada sebab untuk Parti Bersatu Sabah (PBS) menggugat keutuhan dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Menurut Presiden PBS, Datuk Seri Maximus Ongkili, sebagai tunggak utama kerajaan pentadbir di negeri ini, ia sebagai faktor dominan dan jaminan sokongan parti itu kepada kepimpinan gabungan berkenaan.

Beliau berkata, PBS memberikan kerjasama sepenuhnya dalam pelaksanaan pembangunan dan strategi Sabah Maju Jaya (SMJ) yang kini giat diperkemaskan oleh GRS.

"Kami turut meyakinkan Datuk Seri Hajiji Noor (Ketua Menteri) bahawa PBS sentiasa memberikan sokongan penuh kepada kepimpinan Ketua Menteri.

"Manakala jentera parti sedang giat memberikan kerjasama sepenuhnya dalam pelaksanaan pembangunan dan strategi Sabah Maju Jaya," katanya dalam satu kenyataan media pada Khamis.

Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) turut mendedahkan kenyataannya baru-baru ini telah disalah tafsir oleh beberapa pihak, malahan ada yang sengaja memutar belit fakta untuk menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

"Tujuan saya sebenarnya adalah untuk menyatakan keterbukaan PBS terhadap parti pembangkang, termasuklah Parti Warisan, untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri dan persekutuan bagi mencapai pembangunan bersama demi kebaikan Sabah dan rakyatnya.

"Kenyataan saya itu tidak lebih dari sekadar menyatakan keterbukaan untuk bekerjasama.
"Lagipun, Warisan yang terlebih dahulu menyatakan hasrat untuk menjalin persahabatan dan kerjasama, dan Presiden mereka (Datuk Seri Shafie Apdal) telah telah menyatakan hasrat beliau pada bulan Ramadan, iaitu bulan untuk merapatkan hubungan persahabatan.

"Jadi wajarlah bagi PBS untuk memberikan isyarat yang serupa demi mengukuhkan hubungan politik," jelas beliau.

Mengulas lanjut, Maximus turut berkata, perkara itu hanya melalui kerjasama, persahabatan politik dan sokongan, negara ini dapat dibangunkan sepenuhnya.

"Tapi ini tidak bermaksud kita harus membentuk satu gabungan, atau pakatan. Hasrat PBS adalah untuk mengeratkan silaturahim dan kerjasama dengan Warisan di peringkat Perikatan Nasional.

"Dan sebagai Presiden PBS, saya menghulurkan jemputan kepada Parti Warisan untuk mempertimbangkan kerjasama politik dengan PN, sama ada sebagai ahli atau rakan kongsi," katanya.

Bahkan jelas beliau lagi, pihaknya  turut  berbesar hati untuk  menjadi penaja Warisan bagi menjadi sebahagian daripada gabungan PN.

"Sememangnya, untuk membentuk pakatan baru atau idea gabungan adalah satu perkara yang sukar bagi PBS dan Warisan kerana kami mempunyai identiti dan peranan politik yang berbeza.

"Sejak penubuhan parti 36 tahun lalu, PBS kini sudah sinonim dalam memperjuangkan isu-isu berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), keselamatan rakyat dan kebanjiran pendatang tanpa izin.

"Kita mampu  bekerjasama demi memperjuangkan matlamat mulia ini, di samping memperkukuhkan objektif PN. Saya yakin Warisan juga boleh memainkan peranan dan menyumbang kepada pencapaian aspirasi nasional ini," katanya.