IPOH: Kemasukan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Perak ke dalam Parti Bangsa Malaysia (PBM) tidak menggugat kestabilan politik negeri itu.

Mereka ialah ADUN Buntong, A Sivasubramaniam; ADUN Tronoh, Paul Yong Choo Kiong dan ADUN Malim Nawar, Leong Cheok Keng.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, mereka hanya bertukar parti tetapi tidak menarik sokongan daripada kerajaan.

“Dia as long as kerajaan itu ada kerusi yang mencukupi, tak ada apa kesanlah, sebab sekarang kita ada 36 kerusi yang menyokong kerajaan sedia ada.

"Jadi kalau tiga itu, itu pun dia kata tukar parti saja, dia tak kata dia tarik sokongan daripada kerajaan negeri. Jadi tak ada apa-apa kesan kepada kerajaan negeri,” katanya di sini hari ini.

BACA: 3 ADUN Perak sah sertai PBM

Politik | Tiga ADUN sertai PBM tidak gugat kerajaan negeri

Beliau ditemui selepas majlis pecah tanah projek naik taraf sebahagian Jalan Tambun  di Dewan Badminton X - Treme Park, Bandar Sunway, Tambun pada pagi Isnin.

Sementara itu, Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang berada di majlis yang sama berkata, beliau telah menghantar mesej bertanyakan mengenai perkara itu kepada Sivasubramaniam dan Paul Yong yang merupakan Ahli Bersekutu Bersatu sebelum ini.

“Saya dah hantar mesej  bertanyakan kepada mereka berdua tetapi belum dijawab. Jadi saya tidak dapat beri kepastian. But it's ok hari ini saya lihat kerajaan negeri Perak masih kuat, utuh, itu yang lebih penting kerana saya percaya YAB Menteri Besar memberi fokus kepada permasalahan rakyat dan itu yang akan kami bantu,” katanya.

Pada Ahad, media melaporkan, tiga ADUN itu sah menyertai PBM yang baharu dilancarkan pada 21 Disember 2021.

Pada pemilihan parti itu yang berlangsung pada Sabtu, Sivasubramaniam dipilih sebagai Naib Presiden Kanan 2 manakala Paul Yong dilantik sebagai Bendahari Agung PBM.