KUALA LUMPUR: Tiga bekas penyokong Barisan Nasional (BN) gagal mencabar kelulusan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berhubung usul tambahan UMNO yang tidak mempertandingkan dua jawatan utama dalam pemilihan parti itu, di Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu.

Mereka ialah dua bekas ahli UMNO Cawangan Kampung Bukit C2 Lembah Pantai, Satarriah Abdul Karim dan Zaidi Abdul Majid serta seorang bekas ahli MIC Lembah Pantai, P Vellasamy.

Hakim, Datuk Amarjeet Singh memutuskan demikian selepas menolak permohonan kebenaran mereka untuk memulakan semakan kehakiman bagi mencabar arahan Saifuddin yang membenarkan resolusi tidak bertanding untuk jawatan dua tertinggi UMNO ketika perhimpunan agung parti, pada 2022 lalu.

Beliau berkata, mahkamah tidak boleh mendengar permohonan yang melibatkan parti politik, seperti yang dinyatakan di bawah Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966.

Mahkamah juga katanya, tidak membuat sebarang perintah untuk kos.

Peguam, Thalia Rohaina Abdul Latiff mewakili tiga individu berkenaan, manakala Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly mewakili Saifuddin dan RoS.

Menerusi permohonan kebenaran itu, ketiga-tiga individu itu menamakan Saifuddin, Kerajaan Malaysia, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) dan UMNO selaku responden.

Mereka (ketika itu penyokong BN) memohon kebenaran untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mendapatkan perintah certiorari untuk membatalkan kelulusan Menteri Dalam Negeri pada 7 Mac lalu.

*Artikel disiarkan di Sinar Harian