Tok Mat bertanding Parlimen Rembau? Zahid kata belum tahu siapa bertanding di mana

Barisan Nasional (BN) belum mengenal pasti calon-calonnya yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kelak, kata Pengerusinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid juga berkata BN, UMNO, PAS dan Bersatu telah membentuk satu jawatankuasa perunding bagi membincangkan agihan kerusi menjelang PRU akan datang. | Astro Awani
Barisan Nasional (BN) belum mengenal pasti calon-calonnya yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kelak, kata Pengerusinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata parti itu juga belum mengenal pasti kawasan yang akan ditandingi.

"Belum ada keputusan yang dibuat, belum ada kawasan dikenal pasti. Jauh daripada mengenal pasti calon. Maka perkara itu (siapa bertanding di mana) belum timbul lagi," kata Ahmad Zahid kepada pemberita selepas melancarkan Jentera BN Pilihan Raya Kecil (PRK) Slim dan Penyerahan Bahagian Angkat di Dewan Felda Jaya, Trolak di sini hari ini.

Ahmad Zahid mengulas kenyataan Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan ketika merasmikan Mesyuarat UMNO Cawangan Sri Kota semalam yang mengumumkan akan bertanding di Parlimen Rembau pada PRU-15 kelak.

BACA: Tok Mat bakal bertanding di Rembau pada PRU15, KJ pindah ke Tampin

Selain itu, Ahmad Zahid juga berkata BN, UMNO, PAS dan Bersatu telah membentuk satu jawatankuasa perunding bagi membincangkan agihan kerusi menjelang PRU akan datang.

"Apabila tiba masa, setelah penyelesaian peringkat parti masing-masing maka jawatankuasa ini akan duduk berbincang mengenai pembahagian kerusi dan hanya akan dimuktamadkan oleh presiden parti masing-masing," katanya sambil menambah setakat ini belum ada perbincangan terperinci dibuat.

-- BERNAMA