KUALA LUMPUR:Keputusan untuk tidak bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hanya akan diputuskan sekiranya usul yang dibawa setiap Bahagian UMNO diluluskan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU).

Menurut Naib Presidennya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, malah usul menolak kerjasama dengan DAP dan PKR serta usul memperkukuhkan kerjasama dengan Pas juga akan dibincangkan.

"UMNO mempunyai Perlembagaan yang jelas, mesyuarat cawangan dan perwakilan berhak menyuarakan pandangan mereka tentang parti.

"Terdapat banyak usul yang dibentangkan antaranya tidak bekerjasama dengan Bersatu, usul menolak kerjasama dengan DAP dan PKR serta usul memperkukuhkan kerjasama dengan Pas.

"Saya percaya usul ini juga perlu dibawa ke PAU untuk keputusan," katanya pada sidang media berkaitan banjir di Kementerian Pertahanan di ibu negara, hari ini.

Tambah Ismail Sabri, sekiranya usul itu diluluskan, ia akan menjadi dasar parti yang wajib dipatuhi semua ahli.

"Kita tunggu. Esok mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO dan kemudian hujung bulan ini ada PAU. Apa yang akan diputuskan akan menjadi dasar. Kemudian itu tidak boleh diubah lagi melainkan ada mesyuarat agung luar biasa," katanya lagi.