Tujuh individu dalam UMNO sedang disiasat kerana mengeluarkan kenyataan yang tidak patut ‘dibuat di khayalak’, kata Setiausaha Agungnya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

“Kami dah penat dengan ‘mereka’ ini. Jadi siasatan sedang dijalankan buat masa ini dan sebaik sahaja selesai, kita lihat apa hasilnya,” kata Tengku Adnan.

Tambah beliau, hasil siasatan akan dibincangkan di peringkat tertinggi sebelum ia dibawa ke jawatankuasa disiplin parti.

Apabila ditanya identiti tujuh individu tersebut, beliau enggan mendedahkannya.

“Mereka tahu siapa mereka. Mungkin anda juga tahu siapa mereka berdasarkan kenyataan yang telah dibuat selama ini,” kata Tengku Adnan ketika ditemui di lobi Parlimen pada tengah hari Rabu.

Katanya lagi, UMNO mempunyai perlembagaan dan kod etikanya tersendiri.

“Jika sudah tidak percaya perjuangan parti, tinggalkanlah. Kita tidak perlukan gunting dalam lipatan atau duri dalam daging,” kata beliau yang tidak memberi jawapan ketika ditanya sama ada mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad adalah antara yang sedang disiasat.

Pada 5 Oktober lalu, Tengku Adnan berkata ‘enam atau tujuh’ pemimpin UMNO sedang dipantau kerana sering dilihat mengkritik parti dan kerajaan.

“Jika tindakan perlu diambil ke atas mereka, kita akan serahkan kertas siasatan kepada jawatankuasa disiplin memandangkan kita tiada kuasa untuk mengambil tindakan sendiri ke atas mereka,” ujar beliau.

Beliau turut menggesa Dr Mahathir agar tidak campur tangan dalam urusan pentadbiran kerajaan.

“Dr Mahathir sudah bersara... cukuplah. Biar kerajaan sekarang ini selesaikan masalah. Walau apapun, saya menghormati pandangannya,” kata Tengku Adnan.