KUALA LUMPUR: Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO malam tadi bersetuju untuk menganjurkan Konvensyen Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri, bermula Januari 2024.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perkara itu bagi mempertingkatkan kesefahaman dan kerjasama, antara parti-parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan.

Dalam mesyuarat itu juga, beliau berkata, sempena setahun usia Kerajaan Perpaduan, MT UMNO menegaskan pendirian parti untuk terus memperkukuhkan dan mempertahankan Kerajaan Perpaduan, sebagaimana dititahkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

"Memperteguhkan asas-asas kerjasama yang dipersetujui bersama antara parti-parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan, melalui perjanjian yang telah dimeterai terutamanya berkenaan dengan kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan, Kedaulatan Institusi Raja-Raja Melayu, kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera dan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi," katanya menerusi kenyataan malam tadi.

Beliau berkata, mesyuarat pada malam tadi juga memperakukan bahawa semua Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri UMNO, akan terus mendukung pendirian parti untuk menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Perpaduan.

"... (ini) sebagaimana yang diputuskan oleh Mailis Kerja Tertinggi UMNO pada 24 Nov 2022 dan diluluskan sebulat suara oleh perwakilan Perhimpunan Agung UMNO pada 14 Jan 2023," katanya.

Asyraf Wajdi berkata, bagi memastikan agenda Melayu terus diperkasa, UMNO pada 6 Jan tahun hadapan akan mengadakan Kolokium Khas Bersempena Kongres Ekonomi Bumiputera, yang bakal membentangkan hala tuju dan tawaran ekonomi baharu untuk bangsa Melayu di negara ini. - BERNAMA