Ketika ramai penyokong pembangkang mengharapkan UMNO dan Pas bergabung menjadi sebuah parti Melayu yang besar, seorang pemimpin parti Islam itu pula berpendapat sebaliknya.

Pengarah Penyelidikan Pas Pusat, Zuhdi Marzuki berpendapat UMNO dan Pas tidak perlu bergabung menjadi satu parti sebaliknya perlu menjadi pembangkang yang memainkan peranan untuk semak dan imbang.

"Di Kelantan dan Terengganu, Pas membentuk kerajaan manakala UMNO pula adalah pembangkang untuk dua negeri tersebut.

"Kalau bergabung tidak ada parti yang akan main peranan sebagai pembangkang untuk semak dan imbang di sidang Dewan Undangan Negeri," katanya dalam satu forum bertajuk "Masa Depan Islam Di Bawah Pakatan Harapan" malam tadi.

Forum tersebut turut menampilkan Exco Kerajaan Perak Aziz Bari, Penasihat Umum Parti Amanah Negara (Amanah) Ahmad Awang dan Ketua Pemuda UMNO Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.

Zuhdi ketika mengulas mengenai masa depan Islam berkata perkara tersebut merentasi parti politik dan semua pihak perlu bekerjasama demi kepentingan agenda Islam.

Ahli Dewan Undangan Negeri Tinggi, Aziz Bari pula menegaskan masa depan Islam bergantung kepada orang Islam sendiri.

Beliau menjelaskan Pakatan Harapan mempunyai satu tawaran yang besar kepada Islam seperti keluhuran undang-undang dan lain-lain lagi.

"Pakatan Harapan menawarkan satu tawaran yang besar kepada Islam seperti keluhuran undang-undang, membanteras rasuah dan lain-lain lagi," katanya.

Manakala Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi pula meminta semua pihak agar berlaku adil kepada Pakatan Harapan yang baru membentuk kerajaan dalam tempoh dua bulan.

Beliau juga berharap apa yang telah dilaksanakan oleh Barisan Nasional (BN) sebelum ini seperti peruntukan yang besar untuk kemajuan Islam dapat diteruskan oleh Pakatan Harapan.

"Kita kena berlaku adil kepada Pakatan Harapan kerana mereka baru saja membentuk kerajaan dalam dua bulan dan tidak boleh terus nak menyalahkan Pakatan Harapan.

"Saya harap Pakatan Harapan dapat meneruskan apa yang telah dilakukan oleh Barisan Nasional sebelum ini seperti peruntukan yang besar untuk Jakim dan sebagainya dapat diteruskan," katanya.

Namun ketika menyentuh isu LGBT, Asyraf berharap kerajaan Pakatan Harapan dapat menyatakan pendirian tegas mereka sama ada mengiktiraf golongan tersebut atau sebaliknya.

Sementara Penasihat Umum Parti Amanah Negara, Ahmad Awang pula berkata Pakatan Harapan yang membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tidak akan memperalatkan Islam untuk kepentingan parti.

Katanya, Pakatan Harapan akan memastikan Islam terus diperkasakan dan benar-benar menjadi agama yang membawa rahmat untuk seluruh alam.