KUALA LUMPUR : UMNO dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang turut disertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan kekal menerajui kerajaan negeri Sabah.

Pendirian itu sekali lagi ditegaskan Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, yang berkata, kemelut politik melibatkan UMNO dan Bersatu yang berlaku di Semenanjung tidak akan berlaku di Sabah.

Tegasnya, keadaan politik di Sabah berbeza dengan keadaan di Semenanjung.

“Walaupun kita di Semenanjung ini, UMNO telah memutuskan perhubungan dengan Bersatu sehingga pilihan raya, tapi di Sabah kita kena buat satu formula baharu.

“Formula itu adalah untuk bekerjasama dengan parti-parti gabungan dalam GRS.

“Kita akan pastikan ia tidak akan berlaku di Sabah (apa yang berlaku di Semenanjung),” katanya kepada Astro AWANI.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) semasa menghadiri Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU2020) di sini pada Ahad.

Tambah beliau, UMNO Sabah perlu terus bersolidariti dengan GRS demi rakyat negeri berkenaan.

“Ini penting kerana pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lepas, kita telah berjanji kepada rakyat yang memberikan mandat kepada kita untuk menjadi kerajaan.

“(Kita janji) Kita jadi kerajaan yang akan bangunkan negeri Sabah sebab Sabah sekarang ini begitu jauh ketinggalan,” ujarnya.

Tegasnya, fokus utama sekarang adalah membangunkan rakyat dan ekonomi negeri.