Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mampu menggantikan perjuangan UMNO yang kini telah dicemari dan dibinasakan oleh penerapan budaya dan amalan rasuah melalui dasar 'cash is king'.

Pengerusi Yayasan Penggerak Wawasan (YPW), Tan Sri Rahim Tamby Chik berkata, hampir seluruh sistem dan mekanisme parti dan kerajaan sebelum ini sudah terjebak dalam pelbagai kegiatan jenayah rasuah.

Menurut beliau, kerosakan itu termasuk penipuan, tidak amanah, sabotaj bangsa sendiri, kompromi kepentingan rakyat dan keselamatan negara serta lain-lain aktiviti yang meruntuhkan perjuangan Melayu melalui UMNO.

"Kini UMNO bukan lagi Melayu seperti dilaungkan di masa lalu. Sesungguhnya roh dan semangat perjuangan UMNO yang murni, suci, mantap, cemerlang, gemilang serta menjadi kebanggaan bangsa telah berpindah atau berhijrah kepada Bersatu.

"Kelunturan semangat perjuangan, mengejar kekayaan dan kemewahan tanpa sempadan melalui rasuah dan penipuan, hilang pedoman dan hala tuju perjuangan asal serta hilang harga diri dan maruah UMNO.

"Kuasa politik Melayu yang diterajui UMNO sejak era kemerdekaan berkecai, bersepai dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Apa yang bertambah malang, jelas Rahim, ahli-ahli UMNO yang terpedaya dengan hujah-hujah pemimpin yang cuba menutup penyelewengan mereka dalam perjuangan yang telah tersasar belum dapat menerima hakikat bahawa kuasa politik Melayu pimpinan UMNO telah tumpas dan musnah kerana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Skandal terbesar dalam sejarah dunia adalah segala punca yang telah menyebabkan rakyat bertindak menghumban UMNO keluar dari koridor kuasa di negara in.

"UMNO yang lemah dan terkapai-kapai tidak lagi boleh membela dan meneruskan perjuangan untuk agama, bangsa dan negara.

"UMNO sudah menjadi seperti Mekah di zaman jahiliah, dilihat rakyat ianya penuh kemaksiatan yang sukar ditebus lagi menghinakan. Ahli-ahli UMNO perlu malah wajib berhijrah ke destinasi dan lokasi yang baru yang mampu menjadi landasan bagi mengekal dan memperkasakan kuasa politik Melayu di negara ini selagi ada bulan dan bintang, Madinah bercahaya menjadi cemerlang gemilang hanya setelah Rasulullah berhijrah dari Mekah ke sana," ujarnya.

Tambah Rahim, Bersatu juga wajib diperteguh dan diperkukuhkan oleh setiap Melayu serta menjadikannya sekuat dan sehebat UMNO dulu yang pernah disanjung rakyat dan disayangi Melayu.

"Dasar perjuangan Bersatu adalah sama dan serupa dengan apa yang terkandung dalam perjuangan UMNO di zaman kehebatan dan kecemerlangannya di masa lalu.

"Kini Bersatu telah bersedia membawa perjuangan total Melayu ke persada perjuangan nasional yang lebih mencabar dan lebih canggih," kata bekas Ketua Menteri Melaka itu lagi.

Dalam UMNO kini juga, kata Rahim, terdapat tiga kumpulan yang mempunyai agenda tersendiri.

"Tapi hanya satu kumpulan yang kini bersungguh-bersunguh memberi motivasi agar ahli-ahli UMNO jangan meninggaklan parti dan bersabar untuk sepenggal lagi.

"Kononnya sepenggal lagi UMNO akan kembali berkuasa kerana ramalan mereka tanpa Mahathir dan kesan propaganda mereka bahawa dominasi DAP dalam PH yang telah mengetepikan Melayu akan memberi cahaya harapan kepada mereka untuk berkuasa semula.

"Tetapi apapun yang diperkatakan oleh kumpulan ini, matlamat terakhir dari manipulasi politik ini adalah melepaskan tokoh-tokoh tertentu yang kini tersepit dan terhimpit dengan pelbagai pendakwaan jenayah di mahkamah," katanya.

Tegasnya, jangka hayat UMNO itu sendiri mungkin tidak sepanjang yang diingini kerana kesalahan besar parti itu yang melanggar Perlembagaannya sendiri tidak dikompromikan oleh penghayatan kedaulatan undang-undang yang menjadi teras dan landasan tertegaknya Perlembagaan.