UMNO perlu melupakan sebentar nafsunya untuk meraih kuasa, sebaliknya, ia perlu dibangunkan semula dengan nilai, moral dan ideologi paling tuntas, kata Timbalan Presiden parti Datuk Seri Mohamad Hasan.

Ujarnya, parti itu harus menumpukan kudratnya dalam masa 10 tahun akan datang untuk menjadi gerakan kebangkitan dan pencerahan bagi bangsa Melayu.

“UMNO, mesti membangunkan ‘Dekad Pencerahan’ untuk bangsa Melayu, atau apa yang saya panggil, 'The New Malay Renaissance'.

“Dan UMNO, di sebalik kesusutan pengaruh dan kuasanya, tidak boleh membiarkan kondisi bangsa kita terus susut,” katanya ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Sayap-sayap Pergerakan Wanita, Pemuda, dan Puteri, di Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini malam tadi.

Berucap di hadapan kira-kira 3,000 perwakilan dari ketiga-tiga sayap itu di Dewan Merdeka, Mohamad berkata, UMNO masih lagi mempunyai potensi besar, pengalaman sejarah yang panjang, dan modal sosial yang mencukupi.

Namun, beliau merasa bimbang melihat parti itu seolah-olah hilang pedoman dan kewarasan apabila tidak lagi memegang kuasa.

“Perlu saya ingatkan, UMNO tidak akan kembali pulih kalau kita sekadar memohon maaf dan mengambil tanggungjawab sahaja. Ia sangat tidak memadai.

“Apa yang penting waktu ini, yang mesti kita sama-sama fikirkan, ialah ke mana dan bagaimana akan kita bawa UMNO selepas ini,” katanya lagi.

Proses membangunkan UMNO, jelas bekas menteri besar Negeri Sembilan itu, merupakan proses yang sangat sukar dan dijangka merentasi zaman.

“Kita ditakdirkan untuk memulihkan UMNO. Mungkin sebagai kifarah atas kesalahan kita kerana cuai dalam amanah pada bangsa. Lalu sekarang, kita harus memilih. Mahu meneruskan UMNO ini. Atau membiarkan ia luput dari persada politik Malaysia.

“Saya memilih untuk meneruskan hayat UMNO. Bukan itu sahaja, saya berikrar membangunkan kembali dan menjadikan UMNO lebih baik,” ujarnya lagi.

Bagi Wanita, Pemuda, dan UMNO, Mohamad berkata, sayap itu perlu bersama-sama melakarkan jalan ke hadapan untuk UMNO dengan menggubal Pelan UMNO 2030 (UMNO Blueprint 2030).

“Pelan yang akan memperincikan dengan jelas, strategi apa yang akan kita gunakan untuk meyakinkan orang Melayu agar kembali bernaung dengan UMNO.

“Pelan ini mesti boleh menjelaskan dengan terperinci, sedekad dari sekarang, bagaimana UMNO akan ditransformasikan sebagai pelopor sebenar kepada perubahan,” katanya.

Biarpun zaman kegemilangan UMNO telah berakhir, Mohamad berkata, parti itu sedang melalui zaman pancaroba yang sangat menguji dan luar biasa.

“Kita tidak punya pilihan. Pada saudara-saudarilah, terletaknya tanggungjawab untuk meyakinkan generasi muda Melayu bahawa UMNO masih lagi wadah politik terbaik untuk mereka memberikan sumbangsih pada bangsa dan negara,” katanya lagi.