POLITICS
UMNO tarik diri: Penzahiran sokongan mesti datang daripada Ahli Parlimen UMNO sendiri - Penganalisis

UMNO mungkin berhasrat menubuhkan kerajaan sementara sehingga pilihan raya umum yang akan datang. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Keputusan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO semalam yang menarik balik sokongan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan mendesak beliau berundur, memberi kesan kepada pentadbiran dan hala tuju politik negara.
Pensyarah Kanan dan Penganalisis Politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Mazlan Ali, berpendapat, ia mungkin gambaran hasrat parti itu untuk mewujudkan kerajaan sementara sehingga pilihan raya umum yang akan datang.
"Mereka tarik balik sokongan terhadap Perdana Menteri dan pada masa yang sama tidak menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri. Ini mungkin menghantar mesej bahawa mereka berhasrat untuk mewujudkan kerajaan sementara dengan melantik Perdana Menteri Interim.
"Perdana Menteri Interim akan menjalankan tugas pentadbiran dalam tempoh dua tahun untuk memulihkan situasi pandemik COVID-19 dan ekonomi yang tidak stabil, sehinggalah tempoh Pilihan Raya ke-15," katanya ketika muncul dalam Buletin AWANI, hari ini.
Namun keputusan yang dibuat semalam belum memberi petanda kejatuhan kerajaan kerana apa yang penting ketika ini adalah sokongan Ahli Parlimen UMNO terhadap Perdana Menteri.
"Implikasi keputusan itu ialah ia memberi mesej jelas bahawa UMNO sudah tidak bersama kerajaan, kerajaan hilang keyakinan di Parlimen dan mungkin akan tumbang bila-bila masa.
"Tetapi apa yang mustahak ketika ini ialah kenyataan dan penzahiran sokongan yang mesti datang daripada Ahli Parlimen UMNO sendiri.
"Jika mereka kekal beri sokongan, kerajaan boleh bertahan tetapi kalau ada beberapa orang yang tarik balik sokongan, mungkin Perdana Menteri boleh berunding dengan parti lain untuk menggantikan jumlah sokongan yang hilang," tambahnya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami