POLITICS
Ungkai Ordinan Darurat September depan, selesai polemik secara harmoni, berperlembagaan - PM

Perdana Menteri berharap ia dapat menyelesaikan polemik berkaitan pembatalan ordinan-ordinan darurat secara harmoni dan berperlembagaan. - Sumber foto Jabatan Penerangan Malaysia
KUALA LUMPUR: Jemaah Menteri akan membincangkan berkenaan usul untuk membahas dan mengungkaikan Ordinan-ordinan Darurat esok sebelum ia dibawa pada sidang Parlimen, September depan.
Ia selepas proses pembatalan ordinan-ordinan tersebut seperti mana yang disembah nasihat oleh Jemaah Menteri pada 23 Julai 2021 kepada Yang di-Pertuan Agong tidak dapat disempurnakan.
Perkara tersebut dimaklumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu kenyataan media pada Selasa.
“Dengan berakhirnya Proklamasi Darurat pada 1 Ogos 2021, berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, pembatalan Ordinan-ordinan Darurat oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong tidak lagi berbangkit .
“Maka, selaras dengan titah pandangan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan peruntukan Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan, suatu usul untuk membahas dan seterusnya mengungkaikan ordinan-ordinan darurat berkenaan boleh dibawa dalam sidang Parlimen yang dijadualkan berlangsung pada bulan September 2021,” katanya.
Justeru Perdana Menteri berharap ia dapat menyelesaikan polemik berkaitan pembatalan ordinan-ordinan darurat secara harmoni dan berperlembagaan.
Pada 29 Julai lalu, Pejabat Perdana Menteri menyatakan apabila Darurat tidak bersambung Jemaah Menteri memutuskan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membatalkan semua ordinan darurat yang dimasyhurkan oleh Baginda sepanjang tempoh Darurat berkuatkuasa.
Dalam satu kenyataan, Pejabat Perdana Menteri memperjelaskan tiga ketetapan yang diputuskan kabinet susulan kenyataan media Istana Negara, pada hari sama.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami