POLITIK
Warisan bukan lagi parti tempatan - Bekas pemimpin

Parti Warisan (Warisan) tidak lagi boleh mendakwa ia sebagai parti tempatan Sabah susulan langkah melebarkan sayap ke Semenanjung Malaysia hampir empat tahun lalu, kata bekas Ketua Wanita Warisan, Norazlinah Arif.
KOTA KINABALU: Parti Warisan (Warisan) tidak lagi boleh mendakwa ia sebagai parti tempatan Sabah susulan langkah melebarkan sayap ke Semenanjung Malaysia hampir empat tahun lalu, kata bekas Ketua Wanita Warisan, Norazlinah Arif.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kunak itu berkata, tindakan tersebut dilihat sebagai strategi untuk mengangkat Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai calon Perdana Menteri, meskipun ketika itu pentadbiran negeri Sabah masih berdepan pelbagai kelemahan.
“Sabah belum dapat diurus dengan baik, tetapi sudah ada cita-cita untuk ke Semenanjung. Cita-citanya jauh lebih besar daripada setakat di Sabah sahaja,” katanya sebagai memetik laporan FMT.
Warisan secara rasmi mengumumkan peluasan ke Semenanjung Malaysia pada 17 Disember 2021, setahun selepas tewas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.Ketika itu, Mohd Shafie menyatakan hasrat untuk menjadi 'Perdana Menteri untuk semua' sekiranya menang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Parti itu bertanding enam kerusi pada PRN Johor pada Mac 2022, serta meletakkan 24 calon Parlimen dan 16 calon Dewan Undangan Negeri (DUN) di beberapa negeri di Semenanjung pada PRU15, namun kesemuanya tewas.
Antara calon yang gagal termasuk bekas Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat yang bertanding di kerusi Parlimen Pandan.
Prestasi Warisan di Sabah turut merosot apabila hanya berjaya mempertahankan tiga kerusi Parlimen berbanding lapan yang dimenangi pada PRU14.
Timbalan Presiden Warisan, Darell Leiking tewas di Penampang manakala Ketua Penerangan, Datuk Azis Jamman gagal mempertahankan kerusi Sepanggar.
Sementara itu, bekas Ahli Majlis Tertinggi Warisan, Mohammad Mohamarin mendakwa, peluasan parti ke Semenanjung tidak disenangi segelintir pemimpin termasuk bekas Naib Presiden, Datuk Peter Anthony yang keluar parti beberapa hari selepas pelancaran bahagian Warisan di Malaysia Barat.
“Dahulu Warisan melaungkan perjuangan sebagai parti tempatan dan lebih fokus kepada rakyat Sabah. Tetapi kini tidak lagi. Saya berpandangan mereka tidak akan mendominasi politik Sabah pada masa hadapan,” kata Mohammad yang juga ADUN Banggi dan keluar parti pada 6 Februari 2023.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami