KUALA LUMPUR:Semua rakyat diingatkan agar bertenang dan tidak panik dalam menghadapi situasi terkini di negara ini, kata Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat).

Dalam satu kenyataan hari ini, Setiausaha Agung Muafakat Mahmud Hishamuddin Abd Rashid berkata, sebarang keputusan yang akan dibuat sudah pasti untuk memelihara kesihatan dan kehidupan ekonomi rakyat. 

Justeru Muafakat, jelasnya komited menyokong sebarang keputusan yang dibuat Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selepas Raja-Raja Melayu selesai mengadakan pertemuan di Istana Negara pada Ahad.

BACA: LAPOR LANGSUNG: Pertemuan Agong, Raja-Raja Melayu

"Muafakat mengingatkan seluruh rakyat agar bertenang dan tidak panik dalam menghadapi situasi terkini. Muafakat menyokong sebarang keputusan Yang di-Pertuan Agong untuk memelihara kesihatan, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam dalam negara," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, terdapat pelbagai reaksi dilontarkan oleh sesetengah pihak termasuk tindakan tidak menghormati prerogratif dan kuasa Yang di-Pertuan Agong di sisi Perlembagaan Persekutuan.

Ujarnya, ia tidak sepatutnya berlaku dan pihak berkuasa perlu memantau serta mengambil tindakan tegas jika wujud sebarang tindakan pihak yang cuba mencetuskan kebencian terhadap Yang di-Pertuan Agong.

"Muafakat ingin menegaskan di sini bahawa sebarang tindakan yang tidak menghormati prerogatif dan kuasa Yang di-Pertuan Agong di sisi Perlembagaan Persekutuan amatlah dikesali kerana itu bercanggah dengan prinsip Kedaulatan Malaysia.

"Muafakat berharap pihak berkuasa bersikap tegas terhadap mana-mana yang cuba mencetuskan kebencian kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dan Raja-Raja Melayu, juga menggugat keamanan dalam negara dengan niat untuk menghalang YDPA melaksanakan kuasa pemerintahan baginda menurut Perlembagaan Persekutuan," jelasnya.