SHAH ALAM: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman menjadi ahli berbangsa Melayu tunggal yang dipilih menganggotai Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP 2022-2025.

Beliau yang menerima 991 undi berada di kedudukan ke-24 daripada keseluruhan 93 calon yang bertanding.

Seramai 2,179 daripada 4,149 perwakilan hadir secara fizikal mengundi bagi pemilihan CEC pada Kongres Kebangsaan Ke-17 parti itu yang berlangsung hari ini.

Bagaimanapun, terdapat dua lagi pelantikan dibuat melibatkan Bumiputera seperti Tengku Zulpuri Shah Raja Puji (Timbalan Setiausaha Agung) dan Syahredzan Johan (AJK CEC).

Pada pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Kebangsaan Sosialis Pemuda DAP (DAPSY) semalam, Young Syefura yang mesra dipanggil Rara turut menang jawatan Timbalan Ketua DAPSY Kebangsaan apabila meraih 212 undi.

BACA: CEC DAP: Gobind raih undi tertinggi, beberapa nama besar tewas

BACA: Dr Kelvin, Young Syefura kini teraju DAPSY Kebangsaan

Pada kongres lepas, perlembagaan parti turut dipinda dengan memperuntukkan 30 peratus kuota untuk wanita dalam CEC.

Ia sekali gus menyaksikan sembilan wanita menduduki kerusi dalam jawatankuasa baharu itu.

Antara pimpinan wanita yang terpilih adalah Teresa Kok (1,373 undi); Hannah Yeoh (1,346); Lim Hui Ying (1,155) dan Alice Lau (1,119).

Selain itu, jumlah CEC parti pada kali ini juga ditambah kepada 30 orang berbanding 20 ahli CEC sebelum itu.

Keputusan Pemilihan CEC DAP