BUTTERWORTH: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan pelantikan Ketua Wanita UMNO yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Seri Noraini Ahmad sebagai Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda).

Ketika ditanya sama ada benar Noraini dilantik ke jawatan itu, beliau tidak mengulas lanjut, sebaliknya hanya berkata: "Sah".

Dalam pada itu, beliau mempertahankan pelantikan bekas Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Beliau berkata, lantikan dibuat berdasarkan pengalaman beliau sebagai pakar dalam bidang perbankan Islam.

Justeru Ahmad Zahid berkata, adalah menjadi satu kerugian jika kerajaan tidak memanfaatkan kebolehan dan pengalaman yang dimiliki Asyraf untuk bersama-sama membantu kerajaan.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, dengan kepakaran yang dimiliki bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu, beliau percaya Asyraf dapat berganding bahu dengannya dan KKDW membantu membangunkan Mara.

"Datuk Asyraf Wajdi adalah seorang banker, dia expert in Islamic banking. Bukan hanya beliau ahli politik tetapi itulah kerjaya beliau sebelum terjun dalam bidang politik,  maka rugi jika tidak guna kerana dia ada pengalaman dan kelulusan PhD in Islamic banking," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pelantikan Asyraf Wajdi sebagai Pengerusi Mara yang dipertikaikan banyak pihak.

Terdahulu, Ahmad Zahid menyerahkan Kunci rumah kepada 10 penyewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kuala Sungai Pinang sempena lawatan kerja beliau ke Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang di Butterworth pada Ahad.