Skip to main content
Advertisement

Dunia

Atlet berusia 11 tahun raih pingat emas Sukan Asia

Pemain e-sukan Jepun, Yuki Kurihara, mencipta kejutan di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 apabila memenangi pingat emas acara Puyo Puyo Champions ketika baru sahaja berusia 11 tahun.
Kurihara turut dianggap sebagai peserta termuda pada edisi Sukan Asia kali ini selain menjadi atlet Jepun termuda dalam sejarah penyertaan negara itu di temasya berkenaan. - Gambar/ AP
Advertisement

PEMAIN e-sukan Jepun, Yuki Kurihara, mencipta sensasi di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 apabila merangkul pingat emas acara Puyo Puyo Champions pada usia hanya 11 tahun.

Dalam perlawanan akhir, Kurihara menewaskan wakil Korea Selatan, Kang Dongsin, 10-2 untuk muncul juara sekali gus mencatat sejarah sebagai antara atlet termuda memenangi emas di temasya berkenaan.

Kejayaan itu hadir selepas pemain cilik Jepun tersebut mempamerkan aksi cemerlang di separuh akhir dengan menewaskan wakil Thailand, Thanarak Wongkitkun, 10-1.

Menariknya, kedua-dua lawan Kurihara jauh lebih berusia daripadanya. Thanarak berusia 28 tahun, manakala Kang berumur 24 tahun.

Pada aksi final, Kurihara terlebih dahulu ketinggalan 0-1 sebelum bangkit menguasai permainan dan memenangi 10 daripada 11 pusingan berikutnya untuk menoktahkan kemenangan bergaya 10-2.

Kurihara turut dianggap sebagai peserta termuda pada edisi Sukan Asia kali ini selain menjadi atlet Jepun termuda dalam sejarah penyertaan negara itu di temasya berkenaan.

Menurut laporan media Jepun, Kurihara mula bermain Puyo Puyo ketika berada di tahun pertama sekolah rendah sebelum aktif menyertai kejohanan kompetitif dan mengalahkan beberapa pemain dewasa.

Pada April lalu, beliau memperoleh lesen profesional dan sejak itu terus mengembangkan karier dalam arena e-sukan.

Puyo Puyo Champions ialah permainan teka-teki yang memerlukan pemain menghubungkan bebola berwarna bagi membentuk rantaian dan membersihkan ruang permainan untuk memperoleh mata.

Walaupun masih bersekolah, Kurihara mengakui cabaran mengimbangi latihan e-sukan dengan pembelajaran serta kelas tambahan bukan sesuatu yang mudah.

Bagaimanapun, beliau menikmati proses tersebut dan memanfaatkan cuti musim panas untuk meningkatkan intensiti latihan serta memperkukuh kemahiran permainannya.

Kejayaan Kurihara turut menambah senarai kisah luar biasa atlet muda di pentas Sukan Asia. 

Sebelum ini, pemain papan selaju Indonesia, Bunga Nyimas, meraih pingat gangsa pada usia 12 tahun di Sukan Asia Jakarta 2018, manakala Cui Chenxi dari China memenangi emas acara papan selaju jalanan pada usia 13 tahun di Hangzhou.

Namun, Kurihara kini melakar sejarah tersendiri apabila bergelar juara Sukan Asia pada usia 11 tahun, sekali gus membuktikan bakat dan usia bukan penghalang untuk bersaing di peringkat tertinggi. - Stadium Astro

Must Watch Video

Advertisement