Skip to main content
Advertisement

Dunia

Corat-coret di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026

NAGOYA, 23 Sept - Suasana di sekitar Nagoya apabila penduduk tempatan mengamalkan budaya berjalan kaki seawal pagi menuju ke stesen kereta api, tempat kerja, sekolah dan kedai berhampiran, dengan langkah yang pantas tetapi teratur ketika tinjauan hari ini. Budaya berjalan kaki itu turut menjadikan stesen kereta api Nagoya sebagai antara lokasi paling sibuk, dengan orang ramai keluar masuk secara berterusan sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing. Bukan sekadar bergerak dari satu lokasi ke l
Suasana di sekitar Nagoya apabila penduduk tempatan mengamalkan budaya berjalan kaki seawal pagi menuju ke stesen kereta api, tempat kerja, sekolah dan kedai berhampiran, dengan langkah yang pantas tetapi teratur ketika tinjauan 23 Sept 2026. --fotoBERNAMA
Advertisement

NAGOYA: Berikut corat-coret Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 yang memasuki hari kelima.

 

SHINKANSEN, IKON PENGANGKUTAN JEPUN

Berada di platform stesen kereta api Nagoya di Jepun, kemunculan Shinkansen sentiasa mencuri perhatian, terutamanya dalam kalangan pengunjung yang pertama kali berpeluang menaiki kereta api berkelajuan tinggi itu.

Kereta api yang sinonim dengan sistem pengangkutan moden Jepun itu bergerak pantas, namun suasana di dalam gerabak kekal tenang dan teratur.

Bagi pengunjung sempena Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, perjalanan menggunakan Shinkansen bukan sekadar soal sampai ke destinasi dalam tempoh singkat, tetapi turut memberikan pengalaman merasai sendiri kecekapan sistem pengangkutan awam negara matahari terbit itu.

 

BUDAYA JALAN KAKI DI AICHI-NAGOYA

Berjalan kaki di sekitar Nagoya barangkali perkara biasa bagi penduduk tempatan, namun bagi pengunjung luar, budaya itu antara perkara yang mudah mencuri perhatian.

 Seawal pagi, kelihatan penduduk tempatan berjalan kaki menuju ke stesen kereta api, tempat kerja, sekolah dan kedai berhampiran, dengan langkah yang pantas tetapi teratur.

Budaya berjalan kaki itu turut menjadikan stesen kereta api Nagoya sebagai antara lokasi paling sibuk, dengan orang ramai keluar masuk secara berterusan sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing.

Image
NAGOYA, 23 Sept - Suasana di platform stesen kereta api di Jepun apabila kemunculan Shinkansen sentiasa mencuri perhatian, terutama dalam kalangan pengunjung yang pertama kali berpeluang menaiki kereta api berkelajuan tinggi itu ketika tinjauan hari ini. Kereta api yang sinonim dengan sistem pengangkutan moden Jepun itu bergerak pantas, namun suasana di dalam gerabak kekal tenang dan teratur. Penumpang dilihat memanfaatkan masa perjalanan untuk berehat, membaca, menikmati makanan atau sekadar melihat pemand
Suasana di platform stesen kereta api di Jepun apabila kemunculan Shinkansen sentiasa mencuri perhatian, terutama dalam kalangan pengunjung yang pertama kali berpeluang menaiki kereta api berkelajuan tinggi itu, 23 Sept 2026. --fotoBERNAMA

MESIN LAYAN DIRI ‘TEMAN’ DI CELAH KESIBUKAN SUKAN ASIA

Kalau di Malaysia mesin layan diri atau vending machine mungkin sekadar menjadi kemudahan sampingan, namun di Jepun, ia seakan-akan sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian.

Sepanjang berada di sekitar venue Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, mesin berkenaan mudah ditemukan di pelbagai lokasi, sekali gus memudahkan atlet, pegawai media dan pengunjung mendapatkan minuman tanpa perlu beratur panjang di kedai.

Menariknya, pilihan yang ditawarkan bukan sekadar minuman berkarbonat, malah terdapat air mineral, minuman isotonik, kopi dan teh panas, yang sesuai untuk menghilangkan dahaga selepas seharian bergerak dari satu venue ke venue yang lain.

 

AIR PUN KENA ‘BUKTIKAN’

Kawalan keselamatan di venue Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 sememangnya ketat, sehingga barangan yang dibawa masuk turut diperiksa dengan teliti.

Bagi petugas media, membawa botol air ke dalam venue juga bukan sekadar soal dahaga kerana ada ketika pemeriksaan dilakukan begitu rapi, sehingga perlu menunjukkan air berkenaan diminum terlebih dahulu.

Tujuannya mudah, iaitu bagi memastikan cecair yang dibawa bukan bahan terlarang atau sesuatu yang boleh mengancam keselamatan.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement