Skip to main content

Dunia

Infantino sahkan hasrat bertanding penggal keempat sebagai Presiden FIFA

VANCOUVER, April 30 : FIFA President Gianni Infantino said on Thursday that he planned to seek re-election for a fourth term in a bid to continue to lead the governing body of world soccer._REUTERS
Gianni Infantino mengesahkan hasratnya untuk bertanding bagi penggal keempat jawatan Presiden FIFA bagi meneruskan kepimpinannya menerajui badan induk bola sepak dunia itu. - Gambar Reuters

VANCOUVER: Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino pada Khamis mengesahkan hasratnya untuk bertanding bagi penggal keempat bagi meneruskan kepimpinannya menerajui badan induk bola sepak dunia itu.

Infantino mengumumkan, beliau akan bertanding bagi penggal 2027 hingga 2031 pada detik akhir Kongres FIFA yang berlangsung di Vancouver, kurang daripada dua bulan sebelum bermulanya Piala Dunia.

Advertisement

Pemilihan Presiden FIFA dijadualkan berlangsung pada 18 Mac di Maghribi, yang juga bakal menjadi tuan rumah bersama Piala Dunia 2030.

Infantino berkata, beliau berasa “besar hati dan rendah diri” diberi peluang untuk bertanding bagi penggal keempat.

Tokoh berusia 56 tahun berketurunan Itali-Switzerland itu mula memegang jawatan Presiden FIFA pada 2016, menggantikan Sepp Blatter dan dipilih semula tanpa bertanding pada 2019 dan 2023.

Sepanjang tempoh pentadbirannya, Infantino giat memperluaskan saiz kejohanan anjuran FIFA, termasuk Piala Dunia tahun ini di Amerika Utara yang menjadi edisi pertama disertai 48 pasukan, manakala Piala Dunia Wanita pada 2023 diperluas kepada 32 pasukan.

Bagaimanapun, tempoh kepimpinan beliau turut menerima kritikan, antaranya berkaitan harga tiket Piala Dunia yang disifatkan tinggi serta keputusan menganugerahkan Hadiah Keamanan FIFA kepada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, ketika majlis undian Piala Dunia pada Disember lalu.

Awal bulan ini, Majlis Konfederasi Bola Sepak Amerika Selatan (CONMEBOL) dalam satu kenyataan berkata, ia akan menyokong sebulat suara pencalonan Infantino sekiranya beliau memutuskan untuk bertanding semula. - Agensi

Must Watch Video