MEXICO CITY: Empat individu dilaporkan maut ketika sambutan besar-besaran kemenangan Mexico ke atas Ecuador dalam Piala Dunia berlangsung di Mexico City pada malam Selasa.
Datuk Bandar Mexico City, Clara Brugada, pada Rabu berkata siasatan telah dilancarkan berhubung kematian tersebut yang berlaku ketika ratusan ribu penyokong meraikan kejayaan Mexico mara selepas mencatat kemenangan pertama dalam perlawanan kalah mati Piala Dunia dalam tempoh 40 tahun.
Menurut Jabatan Kesihatan Mexico City, tiga mangsa meninggal dunia akibat sesak nafas selepas pasukan kecemasan memberikan bantuan kepada beberapa individu yang tidak sedarkan diri di lokasi berasingan.
Seorang wanita berusia 19 tahun dan seorang lelaki berusia 44 tahun disahkan meninggal dunia akibat lemas walaupun usaha resusitasi lanjut telah dilakukan manakala seorang lagi mangsa, wanita berusia 48 tahun, meninggal dunia di hospital akibat punca sama.
Pihak berkuasa kemudian mengesahkan kematian keempat membabitkan seorang lelaki berusia lingkungan 30-an yang dibawa ke hospital selepas mengalami sawan teruk dan pendarahan gastrousus sebelum meninggal dunia akibat serangan jantung.
Insiden itu berlaku ketika jumlah penyokong yang berhimpun terus meningkat susulan kejayaan demi kejayaan pasukan Mexico dalam kejohanan yang dianjurkan negara itu buat kali pertama sejak 1986, bersama-sama Amerika Syarikat dan Kanada tahun ini.
Dalam sidang media, Brugada merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan memaklumkan bahawa kerajaan bandar raya akan memperkukuh protokol keselamatan bagi sambutan pada masa hadapan.
Beliau turut menggesa orang ramai agar "meraikan kemenangan secara bertanggungjawab" dan mengawal pengambilan minuman beralkohol.
Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, Mexico City telah mengharamkan penjualan alkohol pada hari perlawanan Mexico selain menambah jumlah skrin tontonan awam dan meningkatkan jarak antara skrin bagi memperbaiki aspek keselamatan.