Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Bas perantara percuma sempena GP Bahrain Gulf Air 2026 di Litar Sepang

41742871177_rapid.jpg
Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) dalam kenyataan hari ini memaklumkan perkhidmatan bas itu ditawarkan secara ulang-alik bagi memastikan pengunjung dapat bergerak ke kawasan acara dengan lebih mudah dan selesa. - Gambar fail/BERNAMA
Advertisement

PUTRAJAYA: Rapid KL dengan kerjasama Litar Antarabangsa Sepang (SIC) menyediakan 95 bas perantara khas percuma sempena perlumbaan Formula 1 (F1) Grand Prix (GP) Bahrain Gulf Air 2026 dari 2 hingga 4 Okt ini.

Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) dalam kenyataan hari ini memaklumkan perkhidmatan bas itu ditawarkan secara ulang-alik bagi memastikan pengunjung dapat bergerak ke kawasan acara dengan lebih mudah dan selesa.

Menurut kenyataan itu, bas perantara khas ke SIC disediakan dari hub bas Aras 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2, hub bas Mitsui KLIA dan De-Village, Persiaran Miilenia 2 serta Bandar Baru Enstek.

“Waktu operasi dari 7 pagi hingga 12 tengah malam. Bagi melengkapkan perkhidmatan berkenaan, Rapid KL turut menyediakan bas perantara dalam kawasan litar untuk memudahkan pergerakan pengunjung ke lokasi utama,” menurut kenyataan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus Syahrul Azmir Ahmad Zaki dalam kenyataan sama berkata penyediaan perkhidmatan berkenaan mencerminkan komitmen Rapid KL dalam menyokong penganjuran acara bertaraf antarabangsa serta menggalakkan penggunaan pengangkutan awam.

Menurut kenyataan itu, kesemua bas akan menjalani pemeriksaan keselamatan dan dipantau secara berterusan sepanjang acara berlangsung bagi memastikan operasi perkhidmatan sentiasa lancar dan selamat.

“Pasukan petugas Rapid KL turut ditempatkan di lokasi strategik sekitar kawasan acara bagi membantu dan mengawal pergerakan penumpang. 

“Pengunjung dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal, mematuhi arahan petugas dan beratur ketika menggunakan perkhidmatan bas yang disediakan,” menurut Rapid Bus.

Maklumat lanjut mengenai laluan dan jadual operasi perkhidmatan bas perantara boleh didapati menerusi laman web dan saluran media sosial rasmi Rapid KL.

GP Bahrain Gulf Air 2026 akan berlangsung di SIC dari 2 hingga 4 Okt ini menerusi kerjasama antara Malaysia dan Bahrain.

GP Bahrain pada asalnya dijadualkan berlangsung di Litar Antarabangsa Bahrain pada April, namun ditangguhkan ke Oktober susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement