Skip to main content

Malaysia

F1 GP Bahrain: PM Anwar sertai Pit Lane Walk, tinjau persiapan akhir

Anwar mengadakan tinjauan di Litar Antarabangsa Sepang bagi melihat persiapan penganjuran Formula 1 Gulf Air Grand Prix Bahrain di Malaysia 2026 yang akan bermula esok. - Gambar Facebook Anwar Ibrahim
Anwar mengadakan tinjauan di Litar Antarabangsa Sepang bagi melihat persiapan penganjuran Formula 1 Gulf Air Grand Prix Bahrain di Malaysia 2026 yang akan bermula esok. - Gambar Facebook Anwar Ibrahim

Advertisement

SEPANG: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyertai Pit Lane Walk bersempena dengan perlumbaan Formula 1 (F1) Grand Prix (GP) Gulf Air Bahrain 2026 yang akan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) di sini bermula esok hingga Ahad.

Turut serta ialah Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Ketua Pegawai Eksekutif SIC Azhan Shafriman Hanif serta Ketua Eksekutif Litar Antarabangsa Bahrain (BIC) Sheikh Salman Isa Al Khalifa.

Ketibaan Anwar kira-kira 3.30 petang disambut pengurusan SIC dan BIC sebelum beliau dibawa melawat kawasan pit, diikuti menghadiri pertemuan bersama-sama wakil kedua-dua pihak litar itu.

Selepas selesai di kawasan paddock, Perdana Menteri kemudiannya meneruskan lawatan ke kawasan pintu masuk “Mall Area” bagi meninjau persiapan kemudahan serta operasi menjelang kehadiran peminat bermula esok.

Beliau turut meluangkan masa menyaksikan latihan oleh Pancaragam Pusat Kor Armor Diraja (PP KAD) dan Pancaragam Polis Bahrain selain turut beramah mesra dengan sukarelawan perlumbaan berkenaan.

SIC dipilih menjadi tuan rumah F1 GP Gulf Air Bahrain 2026, sekali gus menjadikan litar ikonik itu sebagai lokasi sementara bagi perlumbaan berprestij Bahrain itu.

Pada Julai lepas, Formula 1 mengesahkan Malaysia sebagai tuan rumah perlumbaan itu dari 2 hingga 4 Okt susulan persetujuan antara Formula 1, Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) serta kerajaan Malaysia dan Bahrain.

Persetujuan itu membolehkan GP Bahrain kekal dalam kalendar F1 2026 selepas perlumbaan yang dijadualkan berlangsung lebih awal musim ini dibatalkan susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat.

Malaysia pernah menganjurkan GP Malaysia di Sepang dari 1999 hingga 2017 sebelum perlumbaan itu digugurkan daripada kalendar F1.

Sementara itu, Anwar menerusi hantaran Facebook berkata beliau menghargai kerjasama erat SIC dan BIC dalam menjayakan penganjuran F1.

Perdana Menteri turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh pasukan penganjur, petugas dan sukarelawan atas komitmen memastikan setiap urusan terlaksana dengan teratur dan selamat.

“Semoga penganjuran ini berjalan lancar dan meninggalkan kenangan bermakna buat peminat serta pengunjung, sekali gus mengangkat nama Malaysia di persada sukan permotoran dunia,” kata beliau.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement