KUALA LUMPUR: “Formula 1, selamat kembali ke Sepang,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Litar Antarabangsa Sepang PETRONAS, Azhan Shafriman Hanif ketika Malaysia bersiap sedia menjadi tuan rumah kepada Grand Prix Formula 1 Gulf Air Bahrain dari 2 hingga 4 Oktober depan.
Dalam kenyataan hari ini, Azhan Shafriman berkata SIC berbesar hati mengalu-alukan perlumbaan itu kembali ke Malaysia serta menyokong kerjasama unik yang melibatkan Formula 1, Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA), Kerajaan Bahrain dan Malaysia.
“Hampir dua dekad Sepang sinonim dengan Formula 1. Di sini perlumbaan bersejarah dimenangi, persaingan legenda tercipta dan beberapa generasi peminat mula jatuh cinta dengan sukan ini. Walaupun Formula 1 tidak lagi berlumba di sini dalam beberapa tahun kebelakangan ini, semangatnya tidak pernah pudar," katanya.
Bagi pihak SIC, Azhan Shafriman turut merakamkan penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari atas keyakinan serta sokongan penuh yang diberikan hingga membolehkan Malaysia menjadi tuan rumah perlumbaan berprestij itu.
"Sokongan dan persetujuan mereka amat penting dalam merealisasikan kerjasama bersejarah ini, sekali gus mengesahkan keupayaan Malaysia untuk menganjurkan acara sukan bertaraf dunia ini.
“Satu penghormatan buat kami untuk berkerjasama dengan Kerajaan Bahrain dan Litar Antarabangsa Bahrain bagi membawa Grand Prix Formula 1 Gulf Air Bahrain ke Sepang. Kami komited menganjurkan acara bertaraf dunia ini dengan cemerlang, profesional dan berteraskan layanan mesra rakyat Malaysia. Kami amat menghargai kepercayaan yang diberikan kepada SIC,” katanya.
Sebagai litar bertaraf FIA Gred 1, Azhan Shafriman berkata SIC melaksanakan pelbagai pelaburan dari segi kemudahan, pembangunan tenaga kerja dan keupayaan operasinya bagi memenuhi piawaian tertinggi yang ditetapkan untuk perlumbaan Formula 1.
Selain aksi perlumbaan hujung minggu berkenaan, beliau berkata kerjasama ini turut membuka peluang mempromosikan Malaysia di pentas dunia, memperkukuh sektor pelancongan, menjana nilai ekonomi serta memberi inspirasi kepada generasi baharu peminat sukan permotoran.
“Kami amat gembira kerana litar ikonik ini sekali lagi berpeluang menjadi tuan rumah kepada keluarga Formula 1 dan memainkan peranan dalam mencipta satu lagi detik bersejarah yang akan dikenang dalam sejarah gemilang sukan ini,” katanya.
Semalam, Formula 1 mengesahkan Malaysia sebagai tuan rumah Grand Prix Formula 1 Gulf Air Bahrain susulan perjanjian yang dimeterai antara Formula 1, FIA serta kerajaan Malaysia dan Bahrain.
Acara yang dijadual berlangsung di SIC itu akan mengekalkan nama asalnya Grand Prix Formula 1 Gulf Air Bahrain di Malaysia tertakluk kepada perjanjian yang dimuktamadkan dan kelulusan rasmi, termasuk daripada Majlis Sukan Permotoran Dunia.
Perjanjian itu membolehkan Grand Prix Bahrain kekal dalam kalendar Formula 1 musim 2026 selepas perlumbaan berkenaan dibatalkan pada awal musim ini susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat.
Malaysia sebelum ini pernah menjadi tuan rumah Grand Prix Malaysia di Sepang dari 1999 hingga 2017 sebelum perlumbaan itu digugurkan daripada kalendar Formula 1.
-- BERNAMA