KUALA LUMPUR: Pengarah kejurulatiah perseorangan negara Kenneth Jonassen yakin kem perseorangan berada pada landasan tepat menjelang Kejohanan Dunia 2026 di New Delhi, India, susulan prestasi memberangsangkan dalam beberapa kejohanan kebelakangan ini.
Beliau berkata penyertaan di Terbuka Jepun dan China baru-baru ini merupakan sebahagian daripada persiapan penting menjelang kejohanan itu, selain memberi peluang kepada pemain serta barisan kejurulatihan mengenal pasti aspek perlu diperkemas sebelum saingan pada 17 hingga 23 Ogos ini, di Stadium Tertutup Indira Gandhi.
“Ada pemain yang mempamerkan prestasi baik, namun tujuan utama penyertaan dalam dua kejohanan itu adalah untuk mengenal pasti aspek yang perlu diberi penekanan dalam latihan menjelang Kejohanan Dunia.
"Secara keseluruhannya, saya percaya kami berada pada tahap persediaan terbaik, dengan mental yang positif kerana ada perkembangan memberangsakan selain petunjuk bahawa pemain mampu mengawal emosi, tahap kecergasan baik dan pelan permainan yang jelas,” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan di sini hari ini.
Jurulatih dari Denmark itu berkata antara pemain yang menarik perhatian beliau ialah perseorangan utama negara Leong Jun Hao, yang menunjukkan perkembangan positif meskipun tersingkir awal pada Terbuka Jepun dan China.
Walaupun keputusan dicapai belum menunjukkan peningkatan, Jonassen berkata pemain berusia 26 tahun itu menunjukkan petanda positif, khususnya dari segi pelaksanaan pelan permainan serta keupayaan membaca corak permainan lawan dengan lebih baik.
“Keyakinan menjadi antara faktor penting, iaitu mempercayai kemampuan sendiri serta berupaya melaksanakan setiap pukulan dan perancangan dengan berkesan.
“Selain itu, yang lebih penting ialah memahami apa yang cuba dilakukan lawan dan saya fikir dia berjaya memanfaatkan peluang yang ada,” katanya.
Jonassen berkata Jun Hao bersama barisan kejurulatihan turut mengenal pasti beberapa aspek yang masih perlu dipertingkatkan menjelang Kejohanan Dunia, dengan tumpuan diberikan kepada usaha memperkukuh corak permainan menyerang serta meningkatkan keupayaan membuat keputusan dalam gelanggang.
Walaupun pemain ranking ke-28 dunia itu masih belum berjaya sekurang-kurangnya ke suku akhir dalam 10 kejohanan disertainya, Jun Hao tetap mempamerkan persembahan memberangsangkan ketika berdepan pemain di ranking lebih tinggi.
Pada Terbuka Jepun, Jun Hao memberikan tentangan sengit sebelum tewas 21-16, 11-21, 17-21 di tangan pemain kelima dunia dari Perancis, Christo Popov pada pusingan kedua.
Beliau kemudian sekali lagi memaksa lawannya bekerja keras di Terbuka China, apabila tewas 22-20, 11-21, 18-21 kepada pemain ke-16 dunia, Weng Hong dari China juga di pusingan kedua.
-- BERNAMA