Skip to main content

Malaysia

K. Rajan tetap optimis NSFC mampu perbaiki kedudukan Liga Super

SEREMBAN, 3 Mei -- Pemain Negeri Sembilan FC J Esso (kiri) terjatuh ketika bersaing mendapatkan bola dari pemain Melaka FC Noel Abgre (tengah) pada perlawanan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi hari ini.  Keputusan semasa Negeri Sembilan 0-0 Melaka FC.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Pemain Negeri Sembilan, FC J Esso (kiri) terjatuh ketika bersaing mendapatkan bola dari pemain Melaka FC Noel Abgre (tengah) pada perlawanan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, pada Ahad. Keputusan semasa Negeri Sembilan 0-0 Melaka FC. - Gambar Bernama

SEREMBAN: Negeri Sembilan FC (NSFC) masih berpeluang memperbaiki kedudukan dalam saingan Liga Super meskipun hanya mencatat keputusan seri dalam aksi menentang Melaka FC, di sini, malam tadi.

Ketua Jurulatih Interim NSFC, K. Rajan berkata, skuad Hobin Jang Hobin perlu mengutip mata maksimum dalam baki saingan menentang KL City FC dan Kelantan United.

Advertisement

“Kita masih boleh terus berjuang kerana ada baki dua perlawanan dan kita perlu kutip enam mata penuh supaya boleh naik dalam carta liga,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perlawanan malam tadi yang menyaksikan NSFC terpaksa akur dengan satu mata selepas terikat tanpa jaringan dengan Melaka FC dalam aksi di Stadium Abdul Rahman, Paroi.

Dengan keputusan itu, NSFC kekal di kedudukan ketujuh liga dengan 25 mata, di belakang Imigresen FC yang mengumpul 28 mata, manakala Melaka FC berada di tangga ke-11 dengan 18 mata.

Rajan berkata, meskipun sasaran utama untuk meraih tiga mata penuh dalam setiap perlawanan, namun, satu mata yang diperoleh dalam aksi tersebut masih dianggap positif selepas tempoh sukar sebelum ini.

Dalam pada itu, Ketua Jurulatih Melaka FC, E. Elavarasan berkata, pasukannya bernasib baik apabila tidak dibolosi walaupun NSFC beberapa kali mencipta peluang berbahaya dalam perlawanan tersebut.

“Lepas sepakan penalti (gagal disudahkan NSFC), kita terus berusaha dan tidak leka, banyak pertukaran kita buat pada separuh masa kedua sebab kita bimbang dengan pertahanan mereka yang begitu laju di bahagian kanan,” katanya.

Beliau berkata mereka akan memberikan komitmen penuh bagi meraih keputusan positif dalam perlawanan seterusnya menentang Kuching City FC di halaman sendiri Sabtu ini, namun mengakui aksi tersebut dijangka sukar kerana lawan merupakan pasukan seimbang dan berpengalaman dalam saingan liga.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video