Skip to main content

Malaysia

LTdL 2026: Skuad negara letak sasaran realistik, fokus pelumba pendaki

KUALA LUMPUR, 15 Sept - Barisan Pelumba Berbasikal Kebangsaan bergambar bersama pada sidang media sempena Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Perkenalkan 8 Pelumba Dalam Senarai Awal Pasukan Kebangsaan ke Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026 di MSN Bukit Jalil, hari ini. - fotoBERNAMA (2026)
Barisan Pelumba Berbasikal Kebangsaan bergambar bersama pada sidang media sempena PKBM Perkenalkan 8 Pelumba Dalam Senarai Awal Pasukan Kebangsaan ke LTdL 2026 di MSN Bukit Jalil, pada Selasa. - Gambar Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Skuad berbasikal lebuh raya kebangsaan menggunakan pendekatan realistik dalam meletakkan sasaran pada Kejohanan Berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026 yang memasuki edisi ke-30, dari 27 Sept hingga 4 Okt ini.

Jurulatih kebangsaan, Mohd Yusof Abdul Nasir berkata, tumpuan utama diberikan kepada pelumba yang mempunyai kemampuan mendaki susulan tiga pendakian utama yang dijadualkan dari peringkat awal hingga peringkat kelima perlumbaan.

Beliau berkata, skuad negara perlu melihat kemampuan semasa sebelum meletakkan sasaran yang terlalu tinggi namun sasaran untuk mencipta kemenangan keseluruhan bukan sesuatu yang mustahil untuk diimpikan. 

“Kami perlu hadapi cabaran LTdL 2026 kali ini dan jangan merendahkan diri. Kami harap pelumba dapat mengambil setiap peluang yang ada, belajar dan memberikan saingan yang hebat. Kalau tidak dapat berada dalam kategori keseluruhan, gelaran terbaik Asia pun sudah baik.

“Kami akan tengok keadaan mengikut peringkat perlumbaan,” katanya pada sidang media LTdL 2026 hari ini.

Pada majlis itu, beliau memperkenalkan empat pelumba utama yang akan menggalas cabaran negara iaitu Muhammad Zawawi Azman dan Muhammad Yusri Shaari dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta Muhammad Adam Hakimi Nazuan dan Chan Jian Le dari Selangor.

Empat lagi pelumba, Muhammad Zahin Wahhi (ATM), Muhammad Ameer Ahmad Kamal (PDRM), Tsen Ren Han (Kuala Lumpur) dan Nazirul Aniq Abd Rahman (Johor) pula akan merebut dua lagi slot untuk melengkapkan enam pelumba.

Dalam pada itu, Yusof berkata, pihaknya tidak membariskan pelumba pecut khusus, sebaliknya memberi keutamaan kepada pelumba serba boleh yang mampu mendaki sebelum beraksi untuk pecutan.

“Untuk pasukan tahun ini, kami memang bersedia untuk pendakian. Kami tidak ada pelumba pecut yang hebat tetapi ada pelumba yang boleh mendaki dan pada masa sama boleh melakukan pecutan seperti Jian Le, Adam Hakimi dan Yusri Shaari.

“Zawawi Azman juga kembali bersama pasukan dan akan menjadi kapten tahun ini. Kami turut mempunyai Ren Han, pelumba muda yang berpengalaman beraksi di Eropah, khususnya di Sepanyol,” katanya.

LTdL 2026 yang berlangsung dari 27 Sept hingga 4 Okt ini memasuki edisi ke-30 dengan membabitkan lapan peringkat sejauh 1,285.5 kilometer (km).

PERINGKAT LTdL 2026

Peringkat 1 (27 Sept): Shah Alam-Kampar (193.0km)

Peringkat 2 (28 Sept): Taiping-Gunung Jerai (145.6km)

Peringkat 3 (29 Sept): Sungai Petani-Kuala Kangsar (189.7km)

Peringkat 4 (30 Sept): Meru Raya-Cameron Highlands (142.3km)

Peringkat 5 (1 Okt): Tapah-Genting Highlands (125.7km)

Peringkat 6 (2 Okt): Pandan Indah-Rembau (121.3km)

Peringkat 7 (3 Okt): Melaka-Batu Pahat (158.9km)

Peringkat 8 (4 Okt): Muar-Putrajaya (188.3km)

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement