Skip to main content

Malaysia

Motosikal dilarang masuk SIC sepanjang F1 Grand Prix hujung minggu ini

Azhan Shafriman ketika menghadiri sidang media mengenai aliran trafik dan pengangkutan sempena Grand Prix F1 Bahrain 2026 yang dianjurkan IPD KLIA dengan kerjasama SIC dan BIC, pada Rabu - Gambar Bernama
Azhan Shafriman ketika menghadiri sidang media mengenai aliran trafik dan pengangkutan sempena Grand Prix F1 Bahrain 2026 yang dianjurkan IPD KLIA dengan kerjasama SIC dan BIC, pada Rabu - Gambar Bernama

Advertisement

SEPANG: Penunggang motosikal dilarang memasuki kawasan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sepanjang Formula 1 (F1) Gulf Air Bahrain Grand Prix di Malaysia 2026 yang akan berlangsung hujung minggu ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Azhan Shafriman Hanif berkata, tindakan itu merupakan sebahagian daripada pelan pengurusan trafik baharu bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan kelancaran pergerakan pengunjung.

Beliau berkata, sejak litar itu mula beroperasi 27 tahun lepas, kebebasan akses bagi semua jenis kenderaan terbukti menjadi punca utama aliran trafik terperangkap dalam kesesakan luar biasa setiap kali penganjuran acara sukan permotoran mega.

"Sejak 1999 hingga sekarang, kita tidak begitu strategik dari segi kawalan lalu lintas kerana membenarkan semua kenderaan masuk, menyebabkan aliran trafik masuk dan keluar sentiasa tinggi dan sesak.

"Justeru, kali ini kita mengehadkan kenderaan persendirian dan melarang kemasukan motosikal orang awam ke dalam kawasan SIC bagi mengurangkan kesesakan selain memudahkan pihak polis membuat kawalan," katanya pada sidang media di sini pada Rabu.

Azhan Shafriman berkata, hanya kenderaan yang memiliki pelekat atau pas parkir sah sahaja dibenarkan melepasi sekatan dan masuk ke kawasan parkir litar.

Bagi orang ramai yang tidak mempunyai pas parkir, beliau menyarankan agar mereka memanfaatkan kemudahan pengangkutan awam, perkhidmatan e-hailing serta bas percuma yang disediakan sepanjang perlumbaan itu berlangsung.

Azhan Shafriman berkata, sebanyak 115 bas perantara percuma disediakan menerusi kerjasama Rapid KL di empat lokasi strategik iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2, Tempat Letak Kereta Jangka Panjang (LTCP) KLIA, Mitsui Outlet Park dan Bandar Enstek.

"Selain 115 bas di empat hab luar itu, pihak SIC turut menyediakan 30 bas ulang-alik secara percuma di dalam kawasan litar yang akan beroperasi tanpa henti dari 7 pagi hingga 12 tengah malam," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah  KLIA, ACP M Ravi berkata, sekatan saringan yang ketat dan pelencongan lalu lintas akan dilaksanakan di lapan “check point” bermula pagi Jumaat ini.

Mengulas mengenai bentuk penugasan polis, beliau berkata, 700 pegawai dan anggota Kontinjen Selangor akan ditugaskan mengawal aliran trafik serta melakukan rondaan di sekeliling litar bagi menjamin keselamatan serta keselesaan pengunjung.

"Bukan zon tertentu sahaja, sebaliknya semua tempat di SIC memerlukan tiket yang sah untuk masuk. Nasihat saya, sekiranya tiada tiket acara atau pelekat parkir kenderaan, jangan datang kerana anda pasti tidak dibenarkan masuk dan akan dilencongkan serta-merta," katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement