KUALA LUMPUR: PDRM FC dan Kelantan The Real Warriors (TRW) FC masing-masing didenda RM10,000, selepas gagal mengemukakan dokumen lengkap bagi penyerahan kelima In-Season Peraturan Kewangan Adil (FFP) Liga Bolasepak Malaysia (MFL) musim 2025-2026.
Pengerusi First Instance Body (FIB) FFP MFL Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif berkata kegagalan itu merupakan pelanggaran Artikel 11 Peraturan FFP Musim 2025-2026.
Beliau berkata kedua-dua kelab turut didapati mempunyai tunggakan gaji pekerja serta tunggakan kepada agensi kerajaan berkaitan, setakat April lepas.
“Kedua-dua kelab diberikan tempoh 14 hari untuk melengkapkan penyerahan dokumen tertunggak serta mengemukakan bukti pembayaran atau pelan penyelesaian berhubung tunggakan berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Keputusan itu dibuat selepas Jawatankuasa FIB FFP MFL menilai tahap pematuhan kewangan kelab Liga Malaysia menerusi Mesyuarat Ringkasan Penyerahan dokumentasi In-Season kelima.
Sementara itu, Sheikh Mohd Nasir berkata Kuala Lumpur City FC turut mempunyai tunggakan gaji pekerja serta tunggakan kepada agensi kerajaan berkaitan.
Beliau berkata KL City akan dipantau dengan lebih dekat dan diberikan tempoh 14 hari untuk mengemukakan bukti pembayaran atau pelan penyelesaian bagi tunggakan setakat April.
Sementara itu, enam kelab iaitu Johor Darul Ta’zim FC, Selangor FC, Penang FC, Kuching City FC, DPMM FC dan Imigresen FC, didapati memenuhi sepenuhnya keperluan FFP MFL tanpa sebarang tunggakan gaji atau bayaran kepada agensi kerajaan berkaitan.
Sabah FC, Melaka FC, Negeri Sembilan FC dan Terengganu FC pula tidak mempunyai tunggakan gaji pekerja, namun masih mempunyai tunggakan kepada agensi kerajaan.
Sheikh Mohd Nasir berkata peringatan rasmi akan dihantar kepada empat kelab berkenaan, bagi memastikan tunggakan itu diselesaikan dalam tempoh ditetapkan.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa Pelesenan Kelab dan FFP merupakan dua kerangka peraturan berbeza dari segi mekanisme, kriteria penilaian, tempoh pelaporan serta tarikh akhir penyerahan.
“Pematuhan terhadap satu kerangka tidak secara automatik dianggap sebagai pematuhan terhadap kerangka yang lain dan kelab perlu memenuhi keperluan kedua-dua proses secara berasingan,” katanya.
-- BERNAMA