IPOH: Kerajaan Perak akan memberikan insentif sehingga RM6,000 kepada atlet yang berjaya memenangi pingat pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Selangor dari 15 hingga 24 Ogos ini sebagai penghargaan terhadap kecemerlangan mengharumkan nama negeri.
Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata pemberian insentif itu diharap meningkatkan motivasi dan semangat juang kontinjen Perak dalam usaha merealisasikan sasaran membawa pulang 50 pingat emas pada temasya dwitahunan itu.
Beliau berkata atlet kategori individu yang memenangi pingat emas akan menerima insentif RM6,000, diikuti RM3,000 (perak) dan RM1,500 (gangsa).
“Bagi acara berpasukan yang melibatkan dua hingga tiga atlet, setiap pemenang masing-masing akan menerima RM4,000 untuk pingat emas, RM2,000 (perak) dan RM1,000 (gangsa), manakala bagi acara berpasukan melibatkan empat atlet atau lebih pula, setiap atlet akan menerima insentif RM2,500 bagi pingat emas, RM1,500 (perak) dan RM750 (gangsa).
“Selain itu, atlet yang berjaya memecahkan rekod pada temasya berkenaan turut akan menerima insentif tambahan sebanyak RM1,000 setiap seorang,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Bendera Negeri Perak "Belang Tarung Tiga Warna" bagi kontinjen SUKMA di Stadium Indera Mulia di sini hari ini.
Saarani berkata sebagai menghargai sumbangan pasukan sokongan, pengurus pasukan akan menerima insentif sebanyak 30 peratus daripada nilai insentif pingat tertinggi yang dimenangi atlet, manakala jurulatih menerima 50 peratus daripada nilai pingat tertinggi berkenaan.
Sementara itu, beliau berkata kerajaan negeri meneruskan misi ‘Silver to Gold’ pada SUKMA kali ini dengan meletakkan sasaran lebih tinggi kepada kontinjen Perak, iaitu 50 pingat emas, manakala kontinjen Para SUKMA menyasarkan 25 pingat emas, dengan matlamat meletakkan kedua-dua kontinjen dalam kelompok lima terbaik keseluruhan.
Saarani berkata sasaran 50 pingat emas itu juga cukup signifikan kerana bakal mengatasi pencapaian terbaik Perak, iaitu 49 pingat emas yang diraih pada SUKMA Sabah pada 2002.
-- BERNAMA