Skip to main content

Malaysia

Sokongan padu penyokong lonjak Sabah FC julang Piala Cabaran

KOTA KINABALU, 19 April -- Ketua pasukan Sabah FC, Dominic Tan bersama pemain pasukan Sabah FC menjulang Piala MFL Challenge Cup apabila berjaya menewaskan Pasukan Penang FC 4-3 melalui tendangan penalti di Stadium Likas malam ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Sokongan padu dan sorakan 20,589 penonton di Stadium Likas di sini menjadi “pemain ke-12” yang melonjakkan semangat Sabah FC untuk menjulang Piala Cabaran malam tadi. - Gambar Bernama

KOTA KINABALU: Sokongan padu dan sorakan 20,589 penonton di Stadium Likas di sini menjadi “pemain ke-12” yang melonjakkan semangat Sabah FC untuk menjulang Piala Cabaran malam tadi.

Ketua Jurulatih Sabah FC, Juan Torres Garrido berkata, kehadiran penyokong The Rhinos memainkan peranan penting untuk menamatkan kemarau kejuaraan selama tujuh tahun, selepas kali terakhir memenangi Liga Premier 2019, terutamanya semasa mereka berhadapan cabaran separuh masa pertama perlawanan akhir yang tegang.

Advertisement

“Sudah tentu… pasukan dapat bertahan pada minit-minit mencabar pada separuh masa pertama mungkin disebabkan kami berada di tempat sendiri dan mendapat sokongan penyokong.

“Kami merasakan sokongan dan semangat tambahan pada separuh masa kedua, masa tambahan dan penentuan sepakan penalti. Sudah pasti mereka (penyokong) aspek penting dalam kemenangan ini,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan. 

Sabah FC menjulang Piala Cabaran selepas menewaskan Penang FC 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti selepas perlawanan berakhir tanpa jaringan sekali gus menyaksikan agregat terikat 1-1 susulan keputusan aksi pertama di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada 4 April. 

Garrido mengakui, pasukannya mengalami kesukaran untuk menguasai perlawanan sepanjang kira-kira 20 minit separuh masa pertama walaupun bermula dengan baik. 

Beliau berkata, perlawanan akhir sememangnya penuh emosi dan beberapa kesilapan awal menimbulkan keraguan dalam kalangan pemain sehingga mengganggu rentak permainan untuk sementara.

“Tetapi menjelang akhir separuh masa pertama, kami mula menguasai permainan semula. Saya rasa untuk sebahagian besar perlawanan, kami pasukan yang lebih baik dan layak untuk menang,” katanya.

Meskipun seri tanpa jaringan sehingga masa tambahan, ketua jurulatih dari Sepanyol itu berkata, semangat juang tinggi memastikan pemain kekal fokus sehingga akhirnya menjamin kemenangan dalam penentuan sepakan penalti.

“Kami sempat bergurau (sebelum perlawanan) kami akan menang 0-0. Saya bangga pemain memberikan lebih daripada diharapkan dan terus berusaha. Kami tidak dapat menjaringkan gol tetapi tetap percaya untuk memberikan yang terbaik sehingga sepakan penalti berakhir,” katanya. 

Garrido yang dalam musim pertamanya dengan Sabah FC menyifatkan kejayaan merangkul kejuaraan di gelanggang sendiri sebagai amat memuaskan dan kemenangan itu akan menyuntik motivasi untuk mereka menamatkan baki musim dengan cemerlang

Sementara itu, Jurulatih Penang FC, Wan Rohaimi Wan Ismail berkata, kelemahan jentera serangan faktor utama pasukannya gagal menamatkan perlawanan dengan kemenangan awal, meskipun saling berbalas serangan dan dapat mencipta banyak peluang di hadapan pintu gol lawan.

“Saya akui dari awal musim sehingga sekarang kami mempunyai masalah penyudah. Kalau pada separuh masa pertama kami berjaya menyudahkan satu peluang, senario perlawanan pasti berbeza kerana satu gol di pentas akhir memberi tekanan besar kepada lawan,” katanya.

Wan Rohaimi berkata, rezeki tidak menyebelahi pasukannya selepas kedua-dua pasukan mempunyai peluang seimbang pada penentuan sepakan penalti.

Pengendali itu juga berkata, bangga dengan kematangan anak buahnya menghadapi tekanan hebat daripada sorakan ribuan penyokong tuan rumah sepanjang 120 minit perlawanan.

“Alhamdulillah, pada awalnya saya agak risau dengan tekanan daripada penonton lawan. Tetapi apabila melihat pemain beraksi cemerlang dan dapat mengekalkan fokus, ia sangat membanggakan,” katanya.

Menyentuh prestasi keseluruhan anak buahnya, Wan Rohaimi berkata, semua mereka telah memberikan komitmen tinggi serta menunjukkan semangat berpasukan yang kuat, dan beliau berharap dapat ditingkatkan bagi mengharungi baki empat perlawanan liga.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video