KUALA LUMPUR: Presiden Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) Datuk Mohd Sumali Reduan mengakui wujud tekanan dalam usaha merealisasikan impian besarnya melihat skuad sepak takraw negara membawa pulang dua pingat emas pada Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya, Jepun bulan depan.
Mohd Sumali berkata sekiranya pencapaian itu berjaya diraih, khususnya dalam acara regu lelaki dan regu berpasukan lelaki, ia pasti akan menjadi detik berharga memandangkan beliau turut diberi tanggungjawab sebagai ketua kontinjen negara (CDM) pada temasya sukan empat tahun sekali itu.
“Sudah tentu ia memberi tekanan kepada diri saya untuk melihat saya sebagai CDM boleh dapat dua pingat emas.
“Itu satu kegembiraan besar kepada diri saya namun saya juga tidak menafikan bukannya mudah seperti apa yang kita jangkakan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau persiapan skuad sepak takraw negara menjelang Sukan Asia 2026 di sini hari ini.
Kali terakhir Malaysia memenangi emas regu lelaki adalah pada edisi 2018 di Jakarta-Palembang, Indonesia manakala kejayaan terakhir menggondol emas regu berpasukan lelaki adalah pada edisi 1990 di Beijing, China.
Mohd Sumali pada masa sama turut mengingatkan pasukan negara agar sentiasa berwaspada dengan kelibat Indonesia, Vietnam dan tuan rumah Jepun yang mampu memberi cabaran besar buat Malaysia dalam memburu emas pada edisi kali ini.
“Kami akan turunkan pemain yang memiliki banyak pengalaman dan kerap beraksi di peringkat antarabangsa.
“Saya tidak berapa risau sangat kerana mereka sudah biasa dengan tekanan, cumanya saya khuatir dari segi persembahan yang berkemungkinan wujud kesilapan mudah nanti,” katanya.
Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 dijadualkan berlangsung dari 19 Sept hingga 4 Okt ini.
-- BERNAMA