Skip to main content

Malaysia

Sukma Selangor: 'Tolak kontroversi tewas kepada Mia Ghazali, semoga bangkit semula Damia' - Peminat sukan

Sumber: Stadium Astro
Damia (kiri) mengharungi pertarungan cukup sengit sebelum kalah dengan hanya perbezaan satu mata 33-34.
Advertisement

PERBEZAAN satu mata sememangnya pahit untuk diterima, lebih-lebih lagi selepas berjuang habis-habisan dalam gelanggang demi mempertahankan gelaran.

Itulah situasi yang dihadapi atlet Muay Thai Johor, Damia Husna Azian, apabila terpaksa akur dengan kekalahan tipis kepada Emylia "Mia" Ghazali dalam final kategori 42-45 kilogram (kg) pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) Selangor 2026 semalam.

Pertarungan sengit yang berakhir dengan keputusan 33-34 itu menyaksikan hasrat atlet berusia 21 tahun berkenaan untuk mempertahankan pingat emas tidak kesampaian, namun semangat juang yang dipamerkannya sehingga saat akhir terus mendapat pujian peminat sukan. 

Tular di media sosial rakaman Damia yang tidak dapat menahan sebak sejurus tamat perlawanan, sekali gus menggambarkan betapa besar pengorbanan dan harapannya untuk membawa pulang kemenangan buat Johor.

Rakaman video tangisan Damia mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan warga maya, namun majoriti peminat sukan tampil memberikan kata-kata semangat dan sokongan moral kepada atlet muda itu supaya tidak terus dibelenggu kekecewaan mahupun terheret dengan polemik yang timbul susulan keputusan perlawanan.

Di platform media sosial, ramai netizen meminta Damia menolak segala kontroversi dan memberi tumpuan kepada masa depan kariernya yang masih panjang. Mereka berpandangan kekalahan tipis bukanlah pengakhiran, sebaliknya menjadi pengalaman berharga untuknya.

Rata-rata peminat turut mengingatkan bahawa seorang atlet hebat tidak hanya diukur melalui kemenangan, tetapi juga keupayaan bangkit selepas melalui saat sukar. 

Bagi sebahagian peminat sukan, air mata yang mengalir selepas perlawanan bukan tanda kelemahan, sebaliknya menggambarkan kesungguhan serta pengorbanan seorang atlet yang berlatih keras demi mengharumkan nama negeri dan negara.

Untuk rekod, Damia Husna pernah mengharumkan nama Malaysia apabila meraih pingat emas kategori 42-45kg pada Kejohanan Senior Dunia Persekutuan Antarabangsa Persatuan Muay Thai (IFMA) 2022 di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

 

Topic Berkaitan

Must Watch Video

Advertisement