KUALA LUMPUR: Pemain beregu lelaki negara Man Wei Chong menyifatkan keputusan barisan kejurulatihan menggandingkannya dengan Soh Wooi Yik sebagai peluang terbaik untuk beliau memantapkan prestasi.
Wei Chong berkata Wooi Yik, yang pernah menjuarai Kejohanan Dunia 2022 bersama Aaron Chia, merupakan antara pemain beregu lelaki terbaik di dunia ketika ini.
“Ini satu peluang yang bagus untuk saya belajar dengan Wooi Yik. Beliau juga mempunyai kepercayaan terhadap saya, jadi saya perlu buat yang terbaik,” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan di sini hari ini.
Baru-baru ini, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengumumkan rombakan kem beregu lelaki negara melibatkan Wooi Yik yang akan digandingkan dengan Wei Chong bagi menghadapi saingan Terbuka Jepun 2026 dari 14 hingga 19 Julai ini.
Bagi siri kejohanan seterusnya, iaitu Terbuka China (21-26 Julai), Terbuka Taiwan (28 Julai-2 Ogos) dan Terbuka Korea (3-8 Nov), BAM turut menetapkan beberapa kombinasi baharu.
Aaron akan bergandingan dengan pemain muda Aaron Tai, manakala Tee Kai Wun akan berpasangan dengan Yap Roy King.
Selain itu, Wan Arif Wan Junaidi akan membentuk gandingan bersama Kang Khai Xing, sementara pasangan Wooi Yik-Wei Chong turut disenaraikan untuk mengharungi ketiga-tiga kejohanan berkenaan.
Sementara itu, Wei Chong menghormati keputusan jurulatih yang menggandingkannya dengan Wooi Yik biarpun mengetahui berita tersebut pada saat-saat akhir.
Wei Chong berkata beliau perlu bersiap sedia menerima cabaran baharu beraksi bersama Wooi Yik selepas ini.
Dalam pada itu, pemain berusia 26 tahun itu berkata beliau telah mula menjalani latihan di gelanggang hari ini selepas dibelenggu tiga kecederaan pada lutut kanan sebelum ini.
Wei Chong pada masa sama berkata beliau perlu membuat latihan tambahan selain meningkatkan aspek komunikasi bersama Wooi Yik sebelum mengharungi kempen Terbuka Jepun bulan depan.
-- BERNAMA