KUALA LUMPUR: Pemain beregu lelaki negara Man Wei Chong bertekad untuk menyertai Kejohanan Badminton Seluruh England 2026 meskipun masih belum pulih sepenuhnya daripada tiga kecederaan pada lutut kanan.
Pemain berusia 27 tahun itu berkata keputusan berkenaan dibuat atas keyakinan terhadap proses pemulihan yang sedang dilalui serta kepercayaan bersama barisan perubatan.
Advertisement
“Januari tahun ini, saya rasa memang sakit dan tidak boleh tahan. Jadi, saya pergi buat pemeriksaan MRI (pengimejan resonans magnetik). Ada tiga kecederaan dekat lutut kanan, iaitu anterior cruciate ligament (ACL), kecederaan meniskus serta chondral.
“Paling kecil ACL tapi ada dua lagi tu tahap dua macam itu lah,” katanya selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara di sini hari ini.
Kecederaan pada lutut kanan itu menyebabkan beliau mengurangkan latihan di gelanggang sejak dua minggu lepas, dengan memberi tumpuan kepada latihan gimnasium serta proses pemulihan sebelum kembali meningkatkan intensiti latihan di gelanggang minggu ini.
“Ini memang kena ambil masa sebab dua minggu sebelum Tahun Baharu Cina saya pun baru buat suntikan PRP (Platelet-rich Plasma) tapi ada okeylah. Belum pulih sepenuhnya, ambil masa agak panjang.
“Sebab sekarang kami ada bincang dengan fisioterapi dan doktor Institut Sukan Negara (ISN), jadi doktor percaya saya dan saya kena percaya diri sendiri. Jangan sebab kecederaan nak memperlahankan rentak. Jangan fikir banyak sangat, kalau ada peluang masuk gelanggang memang buat yang terbaik,” katanya.
Beliau turut memaklumkan akan menjalani pemeriksaan lanjut bersama doktor pada Khamis ini bagi menilai perkembangan terkini kecederaan itu, sekali gus menentukan tahap kesediaannya menjelang kejohanan berprestij berkenaan.
Edisi 2026 kejohanan tertua di dunia itu dijadualkan berlangsung di Utilita Arena Birmingham dari 3 hingga 8 Mac ini.
-- BERNAMA