Skip to main content

Sukan

5 emas Glasgow bukti kehebatan jurulatih tempatan - PABM

SYAHMI HADIAH PINGAT EMAS KEENAM KONTINJEN MALAYSIA DI GLASGOW Kem angkat berat negara terus menjadi lubuk emas Malaysia di Glasgow.  Mohamad Syahmi Nor Ghazali mecetak nama selaku penyumvang pingat emas kelima buat kem angkat berat selepas memenangi kategori 94 kilogram lelaki dengan rekod baharu temasya dengan angkatan 197kg untuk clean & jerk dan 347kg untuk angkatan keseluruhan, sekali gus menyumbang pingat emas keenam buat kontinjen negara.
Atlet angkat berat negara, Mohamad Syahmi Nor Ghazali melakar kecemerlangan pada Sukan Komanwel Glasgow 2026.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kejayaan Malaysia meraih lima pingat emas dan satu gangsa dalam acara angkat berat pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 membuktikan jurulatih tempatan berupaya melahirkan atlet bertaraf dunia apabila diberikan kepercayaan serta sokongan sewajarnya.

Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) dalam kenyataan hari ini menyifatkan pencapaian bersejarah itu bukan sekadar hasil usaha atlet di podium, malah lahir daripada komitmen, kepakaran serta pengorbanan keseluruhan pasukan kejurulatihan dan pegawai yang bekerja di belakang tabir.

Presiden PABM, Datuk Ayub Rahmat berkata, beliau sejak dahulu sentiasa percaya terhadap kemampuan jurulatih tempatan yang memiliki ilmu, pengalaman serta semangat tinggi untuk membawa atlet negara ke tahap tertinggi.

"Kejayaan ini bukti nyata bahawa jurulatih tempatan mempunyai keupayaan untuk melahirkan atlet bertaraf dunia apabila diberikan ruang, kepercayaan dan sokongan yang sewajarnya," menurut kenyataan itu.

Beliau berkata, kejayaan itu tidak dicapai dalam tempoh singkat, sebaliknya hasil pengorbanan besar seluruh pasukan yang sanggup berjauhan daripada keluarga selama berbulan-bulan bagi memastikan atlet berada pada prestasi terbaik.

Di sebalik setiap pingat yang dimenangi, beliau berkata, terdapat jurulatih dan pegawai yang bertungkus lumus merancang program latihan, mengurus keperluan atlet serta memastikan persiapan pasukan berjalan lancar demi mengharumkan nama negara.

PABM turut merakamkan penghargaan kepada Naib Presidennya yang juga pengurus pasukan, Amirul Hamizan Ibrahim atas peranan menyelaras pengurusan kontinjen sepanjang temasya berlangsung.

Penghargaan sama turut diberikan kepada barisan jurulatih negara diketuai Edmund Yeo Thian Chuan bersama Mohd Norshah Rizal Ruslan, yang berjaya menterjemahkan program latihan kepada pencapaian cemerlang pada pentas Komanwel.

Selain itu, PABM turut merakamkan penghargaan buat Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN), Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Institut Sukan Negara (ISN), penaja, persatuan angkat berat negeri atas sokongan berterusan terhadap pembangunan sukan angkat berat negara.

Menurut PABM, kejayaan di Glasgow menjadi bukti bahawa gabungan kepimpinan yang kukuh, sistem pengurusan mantap serta kepercayaan terhadap kepakaran tempatan mampu melonjakkan Malaysia sebagai pencabar utama pada pentas angkat berat antarabangsa.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement