Skip to main content

Sukan

Aaron-Wooi Yik mara ke pusingan ketiga, berdepan rakan sepasukan

KUALA LUMPUR, 23 Mei -- Beregu lelaki negara yang juga pilihan pertama kejohanan Aaron Chia (kiri) dan Soh Wooi Yik (kanan) kecewa selepas tewas kepada rakan senegara Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin pada Kejohanan Perodua Malaysia Masters 2026 di Unifi Arena Bukit Jalil hari ini.  Sze Fei dan Nur Izzuddin menang dengan keputusan 21-18 dan 21-12.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Aaron-Wooi Yik mengesahkan slot ke pusingan 16 terbaik selepas menundukkan wakil Thailand, Peeratchai Sukphun-Pakkapon Teeraratsakul 15-21, 21-11, 21-18. - Foto fail/BERNAMA
Advertisement

KUALA LUMPUR: Pertembungan sesama beregu lelaki negara menjadi antara tumpuan pusingan ketiga Kejohanan Badminton Dunia di New Delhi, India apabila Aaron Chia-Soh Wooi Yik dijadual bertemu rakan senegara Man Wei Chong-Tee Kai Wun.

Aaron-Wooi Yik mengesahkan slot ke pusingan 16 terbaik selepas menundukkan wakil Thailand, Peeratchai Sukphun-Pakkapon Teeraratsakul 15-21, 21-11, 21-18 pada pusingan kedua di Stadium Tertutup Indira Gandhi, semalam.

Gandingan yang dibentuk semula bagi kejohanan berprestij itu terpaksa bekerja keras sebelum bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menyingkirkan pasangan Thailand dalam tempoh 53 minit, selepas menerima bye pada pusingan pertama.

Wei Chong-Kai Wun pula mara dengan lebih bergaya apabila menewaskan pasangan China, Huang Di-Liu Yang 21-14, 21-15 untuk menempah pertemuan dengan rakan sepasukan pada pusingan seterusnya.

Pertembungan dua pasangan negara itu pastinya menjadi perhatian, dengan kedua-duanya perlu mengetepikan hubungan rakan sepasukan apabila berentap untuk merebut tiket ke suku akhir.

Perseorangan wanita negara Wong Ling Ching turut membuka kempen dengan langkah kanan apabila menewaskan wakil Peru Namie Miyahira 21-10, 21-11.

Bagaimanapun, pemain negara berdepan tugas berat apabila dijadual berdepan pilihan kedua kejohanan Akane Yamaguchi dari Jepun pada pusingan kedua.

Sementara itu, nasib berbeza menimpa perseorangan lelaki negara Justin Hoh apabila terkandas di tangan pemain Taiwan yang menghuni ranking kelapan dunia Lin Chun Yi 18-21, 8-21 dalam tempoh 40 minit.

Beregu campuran profesional Wong Tien Ci-Lim Chiew Sien turut menamatkan kempen mereka selepas tewas 16-21, 3-21 kepada gandingan Indonesia Rehan Naufal Kusharjanto-Gloria Emanuelle Widjaja.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement