AICHI: Beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa selepas tewas kepada pasangan nombor satu dunia dari China, Liu Sheng Shu-Tan Ning pada aksi separuh akhir Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Ichinomiya City Municipal Gymnasium, hari ini.
Kekalahan tersebut sekali gus meranapkan impian gandingan negara itu untuk muncul sebagai beregu wanita pertama negara menjejakkan kaki ke final sejak badminton diperkenalkan di temasya berkenaan pada 1962.
Pencapaian terbaik negara ialah tiga pingat gangsa diraih menerusi Tan Gaik Bee-Ng Mei Ling di Jakarta 1962, Rosalind Singha Ang-Teoh Siew Yong di Bangkok 1970 dan Vivian Hoo-Woon Khe Wei di Incheon 2014.
Pearly-Thinaah yang menghuni ranking kelima dunia memberikan tentangan sengit kepada pilihan utama itu, dengan meraih kemenangan 21-16 set pertama sebelum tewas 20-22.
Bagaimanapun, di set penentuan momentum gandingan negara hilang menyaksikan mereka tewas 12-21 dalam tempoh 85 minit.
Pertemuan itu juga menyaksikan pasangan China terus menguasai rekod pertemuan, dengan Liu Sheng Shu-Tan Ning mencatat 11 kemenangan daripada 14 pertemuan menentang Pearly-Thinaah, manakala pasangan negara hanya menang tiga kali.
“Begitu hampir tetapi masih jauh. Kami tidak cukup tenang ketika mata-mata penting, manakala mereka walaupun lebih muda tetapi sangat matang dan itu sesuatu yang perlu kami pelajari daripada mereka.
“Kami perlu benar-benar belajar daripada kesilapan ini dan sentiasa mengingatkan satu sama lain supaya kekal tenang ketika mata kritikal. Itu pengajaran besar buat kami,” kata Pearly ketika ditemui.
Thinaah berkata mereka tetap melihat banyak perkara positif daripada perlawanan itu, selain mengakui masih banyak yang perlu diperbaiki sebelum menghadapi kejohanan seterusnya.
“Seperti yang Pearly cakap, mereka bermain dengan baik ketika mata kritikal dan kami tidak cukup tenang. Tetapi banyak perkara positif yang boleh kami bawa pulang dan kami juga perlu belajar daripada lawan.
“Kami akan meneliti semula perlawanan ini dan kemudian kembali dengan lebih kuat,” katanya.
-- BERNAMA