KUALA LUMPUR: Bekas Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) Rosman Mohd Ibrahim meninggal dunia di Hospital Shah Alam, Selangor semalam.
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam kenyataan semalam memaklumkan Rosman menghembuskan nafas terakhir pada 5.36 petang pada usia 63 tahun.
“Salam takziah buat seluruh keluarga. Semoga Allah SWT mengampuni segala dosa arwah dan menempatkannya dalam kalangan orang beriman,” menurut kenyataan itu.
Jenazah Allahyarham akan disolatkan di sebuah surau di Seksyen 13, Shah Alam hari ini sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21.
Rosman memegang jawatan sebagai Setiausaha Agung FAS dari 2013 hingga 2018.
Pada Ogos 2023, Rosman dilantik sebagai Penolong Setiausaha Agung FAM selain pernah menganggotai Jawatankuasa Futsal badan induk bola sepak negara itu.
Jawatan terakhir disandang Allahyarham ialah Pengurus Unit Infrastruktur dan Pengurusan Fasiliti FAM.
-- BERNAMA