Skip to main content

Sukan

Cape Verde cipta sejarah, negara terkecil mara ke pusingan kalah mati Piala Dunia

Cape Verde head coach Bubista waves the flag as he celebrates with fans after their 0-0 draw against Saudi Arabia after the World Cup Group H soccer match in Houston, Friday, June 26, 2026. (AP Photo/David J. Phillip)
Ketua jurulatih Cape Verde, Bubista, melambai bendera sambil meraikan keputusan seri 0-0 bersama penyokong selepas perlawanan bola sepak Piala Dunia Kumpulan H menentang Arab Saudi di Houston. - Foto AP
Advertisement

HOUSTON: Cape Verde mencipta sejarah apabila muncul sebagai negara terkecil pernah layak ke pusingan kalah mati Piala Dunia selepas seri tanpa jaringan 0-0 menentang Arab Saudi dalam aksi terakhir Kumpulan H, awal pagi tadi.

Keputusan itu membolehkan negara kepulauan di pesisir Atlantik Afrika tersebut menamatkan saingan di tempat kedua kumpulan dengan tiga mata, sekali gus mengatasi Arab Saudi dan Uruguay yang masing-masing mengumpul dua mata.

Cape Verde juga menjadi pasukan debutan pertama dalam tempoh 20 tahun yang berjaya mara ke pusingan seterusnya, selepas kali terakhir dicapai oleh Ghana dan Ukraine pada edisi 2006.

Pasukan yang menduduki ranking ke-64 dunia itu sebelum ini mengejutkan ramai apabila menewaskan pesaing lebih besar untuk layak ke kejohanan, termasuk Cameroon dalam peringkat kelayakan.

Walaupun perlawanan menentang Arab Saudi berakhir tanpa jaringan, Cape Verde tampil lebih agresif dan mencipta beberapa peluang terbaik.

Peluang paling hampir hadir pada minit ke-74 apabila Laros Duarte hampir menjaringkan gol, namun percubaannya berjaya diselamatkan penjaga gol Arab Saudi, Mohammed Al-Owais, yang bertindak pantas keluar dari gawang.

Penyerang Nuno da Costa juga beberapa kali mengancam, tetapi gagal menemui sasaran dalam situasi sukar termasuk pada masa kecederaan.

Selain serangan yang berbahaya, Cape Verde sekali lagi bergantung kepada pertahanan mantap yang diketuai penjaga gol Vozinha, yang melakukan beberapa aksi menyelamat penting untuk memastikan gawang tidak dibolosi.

Keputusan seri ini merupakan yang kedua buat Cape Verde dalam kejohanan selepas mereka turut mengikat Sepanyol tanpa jaringan dalam perlawanan pembukaan.

Arab Saudi pula terpaksa menerima hakikat tersingkir selepas gagal mara ke pusingan kalah mati buat kali keenam berturut-turut sejak penampilan pertama mereka pada 1994.

Walaupun menunjukkan peningkatan pada separuh masa kedua, termasuk beberapa percubaan oleh pemain gantian, mereka gagal menembusi pertahanan Cape Verde.

Cape Verde kini bakal berdepan cabaran lebih besar apabila dijadual menentang juara bertahan, Argentina, dalam perlawanan pusingan kalah mati di Miami minggu depan.

Kejayaan bersejarah ini bukan sahaja mengangkat nama Cape Verde di pentas dunia, malah membuktikan bahawa pasukan kecil juga mampu mencipta kejutan dalam kejohanan terbesar bola sepak dunia.

 

Must Watch Video

Advertisement